Penyanyi Roy positif COVID-19, sesak nafas, paru-paru dijangkiti kuman

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/26/2021 12:38:00 PG
Roy menjalani rawatan dan tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh. - Foto Ihsan Roy

Penyanyi lagu Kau Ratnaku, Roy, 57, mengesahkan dirinya positif COVID-19, malam ini.

Roy dimasukkan ke Hospital Banting akibat sesak nafas, selain dijangkiti kuman dalam paru-paru sejak Sabtu lalu.

Beliau kini menjalani rawatan dan tempoh kuarantin di Hospital Sungai Buloh.

"Saya terima berita ini dengan tenang kerana memang sudah dijangka. Saya kini mengalami sesak nafas, batuk kuat dan kekurangan oksigen.

"Hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan keadaan saya kritikal, tetapi masih boleh dikawal," katanya seperti dilapor BH Online.

Roy atau nama sebenarnya, Mohammad Rauzan Alwi sebelum ini memberitahu, dia turut menjalani ujian saringan COVID-19 berikutan masalah kesihatannya.

Bekas peserta program realiti Gegar Vaganza musim keenam itu turut memaklumkan keluarganya kini sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah.

"Setakat ini, keluarga saya okay, tetapi mereka perlu menjalani kuarantin kendiri di rumah. Tiada siapa yang mahu dijangkiti virus ini, namun saya reda dengan apa yang berlaku.

"Terima kasih kepada peminat yang sentiasa mendoakan kesihatan saya kembali pulih seperti sedia kala," ujarnya.

Roy seorang penyanyi yang terkenal dengan lagu patriotik dengan vokalnya yang lantang bersemangat kelakian. - MSN