Pembawa kavadi tidak cucuk badan Thaipusam tahun ini

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/28/2021 10:27:00 PTG
Kerajaan persekutuan dan negeri meminta penganut agama Hindu mengadakan upacara sembahyang di rumah berikutan pandemik Covid-19. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Selain struktur besar yang berwarna-warni dibawa oleh pembawa kavadi semasa perayaan Thaipusam, satu ciri penting lain mengenai penyembahan ini adalah mencucuk badan mereka dengan besi atau lembing vel dan cangkuk, melambangkan beban yang mereka tanggung.

Bagaimanapun, tahun 2021 mencatat sejarahnya tersendiri yang tidak pernah berlaku sebelum ini apabila sambutan Thaipusam di Pulau Pinang dibatalkan dan penganut tidak dibenarkan mengunjungi kuil untuk upacara sembahyang berikutan pandemik Covid-19.

Kerajaan persekutuan dan negeri menggesa semua penganut untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 dan meminta mereka mengadakan upacara sembahyang di rumah.

Ini menyebabkan pembawa kavadi R Karunaji dalam keadaan serba salah, kerana dia sudah melakukan persediaan untuk membersihkan dirinya dari segi mental dan fizikal selama hampir tiga bulan semata-mata untuk tradisi tahunan ini.

“Sepanjang 55 tahun saya meraikan Thaipusam sebagai pembawa kavadi, ini adalah kali pertama saya sembahyang di rumah tanpa membawa kavadi atau tanpa sebarang cucukan di badan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Lorong Macalister.

Tetapi di sebalik segala rintangan, Karunaji berkata apa yang paling penting ialah penganut komited untuk memenuhi nazar mereka kepada dewa perang Hindu, Dewa Murugan.

“Kami tetap komited memberi sepenuh pengabdian kami kepada Dewa Murugan dan berharap dibersihkan daripada segala dosa, tetapi pada masa yang sama, kami juga ingin mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan bagi memastikan kesihatan dan keselamatan kami,” katanya.

Karunaji yang juga pembuat kavadi berkata dia pernah bernazar di Kuil Sri Mahamariamman di Queen Street dan berjalan kira-kira 10km sebelum mendaki ke kuil Hilltop Pulau Pinang sambil membawa kavadi buatan sendiri.

Katanya selepas memenuhi nazarnya, dia biasanya akan menghidangkan makanan percuma kepada golongan yang memerlukan.

“Kami pernah menyediakan makanan percuma untuk 5,000 orang tetapi kami tidak boleh buat macam itu tahun ini kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) dan pandemik.

“Tahun ini, kami menyediakan makanan percuma iaitu dua hingga tiga hari sebelum Thaipusam dan mengagihkannya kepada penduduk di jalanan,” katanya sambil menyatakan harapan agar pandemik ini dapat berakhir tidak lama lagi supaya beliau dapat menghidupkan semula tradisi membawa kavadinya ke kuil semasa Thaipusam. - Bernama