Najib ajar cara cari duit beli 2 juta laptop untuk pelajar

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/27/2021 01:27:00 PTG
Najib tampil dengan idea bernas membantu pelajar yang tak diketahui Muhyiddin barangkali? - Foto Sabah Post

Datuk Seri Najib Razak menggesa Putrajaya yang diterajui Datuk Seri Muhyiddin Yassin menggunakan Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dalam usaha membantu membekalkan dua juta komputer riba bagi memudahkan pelajar menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bekas Perdana Menteri Najib berkata, dana bagi USP dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan diwujudkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), yang mana semua telco besar dalam negara akan menyumbang RM2 bilion setiap tahun kepada tabung itu.

“Tahun 2022 belum sampai lagi maka peruntukan dari tabung SKMM tersebut boleh diagihkan pada tahun ini untuk memberi dua juta komputer serta pakej internet percuma untuk setahun kepada murid-murid sekolah yang terpaksa menjalani PdPR akibat Covid.

“Kos dua juta buah komputer bersama pakej internet setahun turut dianggarkan RM2 bilion. Cara ini juga pernah digunakan kerajaan BN dahulu untuk memberi sekitar 1.7 juta netbook 1Malaysia semasa saya perdana menteri, dana juga dari tabung SKMM,” tulisnya di Facebook.

Najib turut mempersoalkan mengapa dana daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terbabit bagi program pemberian komputer kepada 150,000 pelajar.

Menurutnya, tidak wajar Putrajaya menggunakan wang rakyat untuk suatu inisiatif yang sepatutnya dibayar daripada bajet kerajaan persekutuan. Baginya, adalah lebih baik jika dana daripada Khazanah Nasional Berhad dan Petroliam Nasional Bhd digunakan.

Najib berkata, bagi memulihkan dana tabungan SKMM tersebut, kerajaan PN boleh mempertimbangkan untuk menjual spektrum 5G secara tender terbuka, seperti dibuat negara lain.

“Kerajaan PN tidak boleh sekali lagi memberi spektrum dan lesen 5G secara senyap-senyap tanpa tender dan terpaksa U-Turn apabila pemberian itu terbongkar dalam media seperti apa yang berlaku tahun lepas.

"Buatlah cara ini serta-merta sebab saya percaya dana dalam Tabung USP ini masih ada,” katanya.

Najib yakin, syarikat Telco tidak akan membantah, memandangkan mereka juga boleh menaikkan pendapatan dengan tambahan dua juta pelanggan pakej internet bersama komputer kepada pelajar.