Menteri Agama, ‘orang kuat’ YADIM didakwa warganet langgar SOP cegah Covid-19

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/25/2021 11:07:00 PTG
Oleh FAZLI RADZI

Hanya selepas tiga bulan keluar dari wad pulih jangkitan Covid-19, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri didakwa netizen melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Turut sama dilihat berkumpul dan gagal menjaga jarak satu meter ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasruddin Hassan merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Walaupun mereka memakai pelitup muka tetapi rata-rata netizen menganggap majlis meraikan ulang tahun penubuhan YADIM ke-47 bukan hal penting untuk diraikan ketika wabak masih mengganas.

Terdahulu, Nasruddin berkongsikan tiga gambar meraikan ulang tahun penubuhan yayasan itu yang katanya ”secara ringkas dengan doa selamat” oleh Zulkifli.

“Semoga YADIM terus memacu gerakan dakwah dengan aktif dan berkesan,” kata Nasruddin yang juga bekas Ahli Parlimen Temerloh.

Zulkifli dan Nasruddin juga dilihat saling berdekatan untuk bersama-sama memotong salah satu pulut kuning sebagai simbolik kepada majlis hari jadi YADIM.

Susulan itu, warganet mengecam majlis tersebut walaupun diadakan dalam dalam skala kecil.

“Orang agama, Menteri Agama jangan tunjukkan kejahilan. PKP ini mesyuarat pun dilarang, apalagi majlis begini walaupun kecil.

“PKP dulu buat mesyuarat projek terjemah hadis. Ini pula sambutan ulang tahun YADIM. Memburukkan agama… Dakwa segera dua orang jahil ini,” kata Yus Iman.

Pas sebelum ini dikritik kerana dilihat gagal memperjuangkan isu rakyat terutama hal berkaitan Melayu Islam apabila berada dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya, isu lain contohnya, berkaitan artis wanita cantik bertudung pula sibuk dibahaskan pemimpin Pas.

Zulkifli yang juga bekas Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini mengumumkan dijangkiti Covid-19 dan membuat permohonan maaf pada 5 Oktober tahun lalu. - Sumber MalaysiaDateline