Hotel terkenal Equatorial Penang bakal tutup?

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/25/2021 11:48:00 PTG

Hotel Equatorial Pulau Pinang bertaraf lima bintang dikatakan bakal ditutup akibat kekurangan pengunjung di musim wabak Covid-19. - Foto Penang Equatorial Hotel

Hotel Equatorial Pulau Pinang yang bertaraf lima bintang mungkin ditutup kerana “keadaan perniagaan teruk akibat Covid-19”, menurut surat kepada pekerja yang tersebar di media sosial.

Surat itu tertulis, “hari terakhir perniagaan belum ditentukan, tetapi ia sebelum 31 Mac”. Ia tidak menyatakan sebab hotel itu akan ditutup.

Jika penutupan itu disahkan, hotel yang dilengkapi 662 bilik di Bukit Jambul itu akan menjadi antara lebih 100 perniagaan dalam sektor perhotelan yang ditutup sejak penularan Covid-19 tahun lalu.

Seorang jurucakap hotel yang dihubungi portal FMT berkata, surat itu tidak bertarikh dan perbincangan masih diadakan berhubung penutupan itu.

Surat itu ditulis dengan surat berkepala hotel terbabit dan mempunyai tandatangan Pengurus Besarnya, Alan HC Ong.

“Ini keputusan sangat menyedihkan dan sukar,” menurut surat itu.

Kakitangan diberitahu mereka akan menerima bayaran pemberhentian, walaupun hotel itu menanggung “kerugian besar”.

Jurucakap hotel dilapor berkata, selepas keputusan mengenai penutupan itu dicapai, hotel akan membuat pengumuman di laman web dan platform media sosial mereka..

Antara Mac hingga November 2020, 204 perniagaan pelancongan dan hotel ditutup akibat sekatan pergerakan susulan penularan Covid-19.

Menteri Pelancongan, Nancy Shukri
memberitahu Dewan Rakyat pada November lalu, 109 perniagaan dalam sektor perhotelan, termasuk hotel, motel, rumah inap desa dan chalet ditutup, begitu juga 95 agensi pelancongan dan operasi aktiviti pelancongan.

Bagaimanapun, kementerian itu turut meluluskan permohonan lesen baru daripada 135 syarikat dan pengusaha pelancongan pada masa sama.