Harga ikan, sayur mungkin jatuh dalam 2, 3 minggu - Boss Mydin

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/25/2021 11:23:00 PTG

Bos rangkaian pasar raya besar Mydin berkata, kenaikan harga makanan antara 30% hingga 250% baru-baru ini dijangka kembali normal dalam tiga minggu.

Pengarah Urusan Mydin, Ameer Ali Mydin dilapor portal FMT berkata, kenaikan harga baru-baru ini disebabkan banjir di beberapa negeri dan sekatan daripada perintah kawalan pergerakan.

Dalam dua minggu ini, katanya, harga ternakan meningkat sebanyak 10-15%, manakala ikan tempatan seperti Mabung naik daripada RM12 kepada RM18 sekilo, serta Kembong daripada RM7 kepada RM9 sekilo.

“Harga sayur naik lebih dua kali ganda, bendi RM6 sekilo, kini berharga RM12. Harga tomato meningkat daripada RM3.50 kepada RM9 setiap kilogram.

Ameer berkata, banjir yang melanda baru-baru ini merosakkan ladang dan jalan raya, manakala sekatan PKP menyebabkan pasar borong ditutup atau beroperasi pada waktu terhad.

“Jadi, disebabkan ini, berlaku kekurangan bekalan dan ini menyebabkan kenaikan harga. Kami menjangkakan harga akan kembali normal dalam dua hingga tiga minggu. Ini keadaan sementara dan ia berlaku selama berdekad di bawah setiap kerajaan. Penyelesaian terletak pada bekalan makanan.”

Terdahulu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan menggesa kerajaan menyelesaikan kenaikan harga barang keperluan kerana rakyat semakan terbeban dengan kenaikan harga, terutamanya makanan mentah.