Gunung Merapi mula meletus, muntah debu panas sepanjang hari

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/28/2021 12:01:00 PG
Penduduk pulau Jawaa Indonesia melihat Gunung Merapi yang mengeluarkan asap dan batu, hari ini. - Foto AFP

JAKARTA: Gunung Merapi memuntahkan asap panas, disusuli letupan kecil menghasilkan awan besar dan debu, bergumpal-gumpal pada sisi kawah gunung berkenaan.

Gunung yang terletak berhampiran Yogyakarta itu berpuluh kali memuntahkan debu panas sepanjang hari.

Agensi Geologi Indonesia memaklumkan, debu terbabit boleh dikesan sejauh tiga kilometer dari puncak gunung berkenaan.

Pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan arahan supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan berkenaan dalam jarak lima kilometer, selain memberi amaran kemungkinan gunung terbabit akan mengeluarkan lava

Pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran berjaga-jaga pada tahap dua, selepas mengesan aliran lava dari gunung berkenaan, sejak beberapa hari lalu.

Kali terakhir Gunung Merapi meletus pada tahun 2010 yang mengorbankan lebih 300 nyawa dan memaksa kira-kira 280,000 penduduk meninggalkan kediaman.

Kejadian itu yang paling buruk pernah berlaku sejak 1930. Pada 1930, letusan Gunung Merapi mengakibatkan 1,300 orang terkorban, manakala 60 orang terbunuh pada 1994.

Indonesia, kepulauan dengan lebih 250 juta penduduk, terletak dalam 'Lingkaran Api Pasifik' dan terdedah kepada gempa bumi serta letusan gunung berapi, dengan ahli seismologi kerajaan memantau lebih 120 gunung berapi aktif. - AFP