Empat sekeluarga jadikan bangsal rumah di Kelantan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/31/2021 05:09:00 PTG
Mohd Saufi dan isteri, Dahlia bersama anak mereka, Nur Dhiyalissya serta Nur Dhiyadheliena tinggal dalam sebuah bangsal kecil di Pantai Mek Mas, Kota Bharu sejak November tahun lalu.

KOTA BHARU: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul beban. Inilah situasi yang dilalui empat sekeluarga yang terpaksa tinggal dalam sebuah bangsal kecil di Pantai Mek Mas setelah hilang punca pendapatan sejak November tahun lalu.

Mohd Saufi Ibrahim, 41, dan isteri, Dahlia Musliman, 48, serta dua anak mereka, Nur Dhiyalissya, 7, dan Nur Dhiyadheliena, 6, sebelum ini tinggal di rumah sewa dengan bayaran bulanan sebanyak RM250 terpaksa berpindah ke bangsal itu kerana tidak mampu menjelaskan sewa bulanan yang kini tertunggak sebanyak RM1,000.

Mohd Saufi berkata, sebelum ini bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,400 sebulan manakala isterinya pula kerani di syarikat sama yang dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

“Bagaimanapun kami diberhentikan serentak bersama ramai lagi pekerja lain dipercayai kerana ekonomi syarikat yang terjejas kesan daripada COVID-19.

“Disebabkan hilang punca pendapatan, saya tidak dapat menjelaskan bayaran rumah sewa sehingga tertunggak selama empat bulan dan diarahkan keluar dari rumah tersebut,” katanya ketika ditemui di bangsalnya di Pantai Mek Mas di sini pada Sabtu.

Menceritakan kesusahan yang dialaminya, Mohd Saufi berkata, dia sekeluarga pernah menumpang tidur di pondok pengawal tempat bekas majikannya selama seminggu sebelum dibantu penduduk kampung serta kenalan yang menyumbangkan kayu serta zink untuk membina bangsal di belakang rumah ibunya.

Katanya, keadaan rumah ibunya yang uzur membuatkan dia terpaksa membina bangsal sebagai tempat tinggal mereka sekeluarga manakala kemudahan air diperoleh dari telaga tiub dan elektrik pula di sambung dari rumah ibu saudara serta menumpang tandas di rumah keluarganya.

"Dalam ruang sempit inilah tempat kami empat beranak tidur, memasak, makan dan solat. Alhamdulillah walaupun sukar tetapi saya tenang dan tidak pernah putus rezeki.

“Buat sementara, saya membantu rakan menangkap ikan dengan upah tidak menentu antara RM30 sehingga RM50 seminggu selain menjaga tujuh ekor kambing milik sepupunya dengan upah diberikan anak kambing yang bakal dilahirkan secara bergilir dengan pemilik," katanya.

Sementara itu, Dahlia berkata, anak sulung mereka baharu sembuh daripada demam berikutan cuaca panas dan hujan ditambah dengan bahang bangsal yang berlantaikan pasir serta beratap zink.

Katanya, lebih menyedihkan kedua-dua anaknya itu masih belum memiliki pakaian seragam sekolah selain hanya mempunyai beg sekolah yang disedekahkan kepada mereka.

“Kalau siang kami tidak boleh duduk dalam bangsal kerana terlampau panas, tapi bila hujan pula, atapnya bocor sana sini. Saya susun batu bata dan alas tikar untuk sembahyang walaupun ruangnya terhad. Suka tengok ruang kemas dan bersih walaupun kecil.

“Tanah ini hak kerajaan, saya pinjam guna untuk bercucuk tanam. Ada tanam labu, tomato, pokok kari dan bayam Brazil yang boleh kami makan ketika kesempitan wang,” katanya.

Tambahnya, suaminya itu mempunyai tanah namun mereka tidak mampu dari segi kewangan untuk membina rumah.

“Saya berharap mempunyai sebuah rumah yang lebih selesa dan selamat untuk kami duduki lebih-lebih lagi ketika suami keluar menangkap ikan pada waktu malam,” katanya.

Dalam pada itu, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin ketika dihubungi berkata, keadaan keluarga ini dalam pengetahuan dan pemerhatian pihaknya.

“Saya difahamkan keluarga ini membina bangsal dan tinggal di belakang rumah orang tua mereka itu selepas tidak mampu menjelaskan sewa rumah mereka.

“Rumah orang tuanya juga sudah usang dan dua tahun lalu pihak kami telah membaiki rumah warga emas tersebut termasuk bilik air dan dapur selain menerima bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk isteri pertamanya,” kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang. - Sinar Harian