Dr Noor Hisham lebih layak jadi Menteri Kesihatan ganti Adham Baba

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/25/2021 10:47:00 PTG
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Adly Zahari mencadangkan agar Datuk Dr Adham Baba ditukar segera dengan individu yang lebih layak untuk menjadi Menteri Kesihatan supaya pandemik Covid-19 dapat ditangani dengan lebih baik.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah adalah paling layak dilantik sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Adham.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh lagi terus bergantung harap kepada menteri yang lemah dalam memerangi gelombang ketiga wabak berkenaan.

“Sekiranya sukar untuk mendapatkan menteri yang berwibawa sebagai Menteri Kesihatan, saya ingin mengesyorkan supaya Ketua Pengarah Kesihatan dilantik sebagai Menteri Kesihatan.

“Alang-alang darurat, biarlah tenaga profesional membuat dasar dan melaksanakan proses memerangi Covid-19.

“Jika kita masih ditakuk lama dan Perdana Menteri tidak bersedia menukar Menteri yang lemah, maka apa makna darurat kalau bukan kerana politik,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau mengingatkan, dalam keadaan darurat, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai kuasa mutlak untuk melaksanalan perubahan tersebut.

Sekiranya tidak, Adly yang juga Bendahari Agung AMANAH berkata, ia sekadar akan mengesahkan bahawa Perdana Menteri lemah didukung oleh menteri yang lemah.

Beliau turut mengambil contoh Menteri Kesihatan New Zealand yang meletakkan jawatannya selepas didapati terlibat dalam aktiviti yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) iaitu dengan berkelah di pantai.

Jelasnya, jawatan Menteri Kesihatan kemudiannya diberikan kepada Menteri Pendidikan untuk memerangi Covid-19, di mana hasilnya hari ini New Zealand menjadi negara terendah dijangkiti Covid-19.

“Menunggu Menteri Kesihatan Malaysia meletak jawatan seperti menunggu ‘kucing bertanduk’, rakyat boleh menilai keupayaan beliau,” katanya.

Sementara itu, menurut Adly, tanggungjawab melawan Covid-19 melalui Menteri Pertahanan dengan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dan urus selia vaksin melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, mesti ditamatkan dan diserahkan sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan. 

Suimber ihsan Malaysia Dateline.