Datuk Azizan Osman positif Covid-19, ibu mentua meninggal dunia, 31 ahli keluarga positif

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/28/2021 06:35:00 PTG
Azizan turut memaklumkan 31 ahli keluarganya turut dijangkiti wabak tersebut, selain ibu mentuanya dilaporkan meninggal dunia akibat COVID-19. - Gambar Facebook Azizan Osman

Pakar motivasi dan penceramah, Datuk Azizan Osman hari ini mengesahkan beliau dijangkiti wabak COVID-19.

Menerusi kemas kini yang dimuat naik di laman Facebooknya, Azizan berkata, selain beliau, 31 ahli keluarganya lain turut dijangkiti wabak tersebut.

Apa yang turut menyedihkan ialah, ibu mentuanya meninggal dunia akibat pandemik COVID-19.

Azizan menggambarkan kejadian yang menimpa beliau itu sebagai sesuatu yang sangat berat dan memeritkan untuk ditanggung.

“COVID-19 hampir meragut nyawa saya! (Pada pukul) 1.44 petang, Jumaat 15 Januari - saya dah hampir maut! Nafas saya sesak! Doktor kata peluang saya amat tipis! Tetapi sesuatu berlaku yang membuktikan kekuasaan Allah SWT.

“Saya dan keluarga diuji dengan virus COVID-19. (Seramai) 31 ahli keluarga saya dijangkiti COVID-19 dan ibu mentua saya telah kembali ke rahmatullah.

“Tak mudah untuk saya kongsikan betapa sedih, perit dan ngeri pada waktu itu. Tetapi sangat penting untuk saya kongsikan sebagai seorang mentor, saya nak anda tahu proses ini,” katanya dalam status di Facebook hari ini.

Azizan pengasas syarikat RichWorks International itu menambah, beliau hampir menitiskan air mata ketika berkongsi perkara ini, namun sokongan ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkannya lebih tabah.

Azizan menyifatkan pandemik COVID-19, bukan hanya telah menjejaskan kehidupan ramai orang dalam meneruskan kelangsungan hidup, bahkan turut memberi kesan kepadanya.

"Seorang ibu yang mencuri ubat untuk anak-anak, ada yang mencari rezeki di tempat sampah.

"Kerajaan yang sedang berkira-kira untuk total lockdown yang akan beri impak pada pekerjaan ramai orang dan perniagaan. Tekanan perasaan dan banyak lagi dalam berita semasa. Ini semua cukup memberi kesan pada saya betapa saya belum berjaya bantu bangsa saya untuk berjaya," kata Azizan yang difahamkan telah sembuh jangkitan tersebut.