Bomba selamatkan budak jari kaki tersepit kerusi

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/29/2021 12:10:00 PTG

Dua jari kaki kanak-kanak perempuan yang tersepit pada kerusi di kediamannya di Taman Desiran, Kuala Selangor, petang semalam. - Foto BOMBA

Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa melalui detik menyakitkan apabila dua jari kaki kanannya tersepit pada kerusi di kediamannya di Taman Desiran, Kuala Selangor.

Trauma yang dihadapi mangsa berusia 12 tahun dalam kejadian jam 4.30 petang semalam itu bagaimanapun berakhir selepas menerima bantuan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 4.36 petang.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, pasukan mendapati mangsa tersepit pada kerusi itu.

"Sebelum kejadian, mangsa sedang membuat kerja sekolah dan dipercayai bermain lalu terjatuh sebelum jari kakinya tersepit celah kerusi terbabit.

"Panik melihat kejadian itu, ibu bapa mangsa kemudian menghubungi bomba untuk meminta bantuan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hafisham berkata, pasukan mengambil masa kira-kira enam minit untuk mengeluarkan jari kaki mangsa.

"Mangsa kemudian dibawa ahli keluarganya ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Operasi tamat sepenuhnya pada 4.46 petang," katanya seperti dilapor BHOnline.