Anwar tanya Zafrul kamu mewakili bank atau rakyat?

Ana Ghoib Syeikh Malaya 1/23/2021 10:15:00 PTG
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini tidak melaksanakan dasar moratorium pinjaman secara automatik seperti sebelum ini kerana mereka tidak berani 'menyentuh' golongan kaya.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata sepatutnya dilaksanakan seperti ketika negara berada dalam perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama pada Mac tahun lalu.

Anwar yang merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata golongan yang takut disentuh oleh kerajaan itu merujuk kepada pemilik bank yang ada di negara ini.

Dakwanya PN ketika ini dilihat langsung tidak mencuba untuk mengadakan perbincangan dengan pemilik bank bagi membantu meringankan beban rakyat yang berhutang selepas moratorium terdahulu tamat pada 30 Sept lalu.

"(Berdasarkan) pengalaman saya yang sedikit ini, saya ingin nyatakan bahawa cara menangani masalah ekonomi dalam krisis tidak sama (dengan) dalam keadaan biasa.

"Sebab itu soal defisit, soal hutang termasuk soal moratorium harus difikir dari sudut mendesak (demi) untuk menjaga kepentingan rakyat dan tidak melemahkan kedudukan ekonomi," katanya.


Tambah ahli parlimen Port Dickson itu lagi moratorium pinjaman bank ini harus ditampung semua pihak.

Anwar berkata sebelum ini beliau dia ada berbahas di Dewan Rakyat dan memaklumkan keuntungan setahun dan keuntungan suku tahun semua bank masih tinggi walaupun semasa wabak Covid-19 melanda.

"Jika tak salah saya, antara RM7 bilion hingga RM8 bilion untuk suku tahun.

"Takkanlah tak boleh bantu menampung beban yang dipikul oleh rakyat? Sebab itu saya tanya menteri kewangan ini, (dia) mewakili bank atau mewakili rakyat?

"Tapi dia tak jawablah, sampaikan langkah langkah kita itu tidak berani langsung nak sentuh bank," katanya.

Anwar berkata demikian semasa ditanya dalam program bual bicara Minda Profesor Negara yang disiakan secara langsung melalui Facebook hari ini.