Najib dilantik Perdana Menteri pada 3, April 2009 dan didakwa meminta suapan serta pecah amanah jenayah pada 3, April 2019. – Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Tarikh 3 April sinonim kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga bekas Presiden Umno.

Sinar Harian melaporkan pada tarikh ini, 10 tahun lalu, jam 10 pagi, Najib berada di Istana Negara bagi istiadat mengangkat sumpah untuk memegang tampuk pimpinan menerajui Kerajaan Persekutuan sebagai Perdana Menteri keenam menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun pada hari ini, tarikh yang sama, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan sebagai hari pertama perbicaraan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd membabitkan tujuh pertuduhan terhadap beliau.

Kes ini menjadi tumpuan dunia apabila 30 agensi media termasuk 14 daripada media antarabangsa turut hadir membuat liputan.

Prosiding bermula jam 2 petang di hadapan Hakim Mohd Nazlan Ghazali.

Peguam Negara, Tommy Thomas mengetuai barisan pasukan pendakwaan manakala Najib diwakili peguam, Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah.

KLIK BACA: Peguam Negara dedah kad kredit belanja RM600 di butik Chanel

Setakat ini, pihak pendakwaan dilapor telah menyenaraikan 63 saksi dan telah mengemukakan lebih 3,000 dokumen termasuk Minit Mesyuarat SRC International kepada pihak pembelaan.

Untuk rekod, pada 4 Julai 2018, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan, didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa berhubung dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta.

Bagi pertuduhan pertama, Najib, 66, didakwa, sebagai seorang penjawat awam dan ejen, iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, Penasihat Emeritus SRC dan dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC International berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah sejumlah RM27 juta.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No 55, Jalan Raja Chulan, di Kuala Lumpur antara 24 dan 29 Disember 2014.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta di tempat dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, telah melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang berjumlah RM10 juta di tempat sama antara 10 Februari 2015 dan 2 Mac 2015, mengikut seksyen sama Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan keempat, Najib didakwa, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia, telah menggunakan jawatan untuk suapan bagi dirinya berjumlah RM42 juta apabila dia mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan bagi pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman-pinjaman berjumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) kepada SRC.

Najib juga telah didakwa telah menerima, masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, yang merupakan hasil aktiviti haram, yang dipindahkan mengikut Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti Secara Elektronik Masa Nyata (RENTAS) ke dalam akaun miliknya di AmIslamic Bank Berhad menggunakan nombor akaun 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Presint 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan-pertuduhan itu difailkan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang memperuntukkan penalti mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama.

KLIK BACA: Peguam Negara dedah kad kredit belanja RM600 di butik Chanel

KLIK BACA: “Ada klepto berserban jadi imam, ahli syurga berduyun-duyun pergi ke SPRM” – Rafidah

KLIK BACA: Cukai LHDN RM1.5b, Tun Mahathir mahu mufliskan Najib?

KLIK BACA: Najib bergembiralah dengan media sosial, lambat laun ke penjara.

KLIK BACA: Umno gagal dapat wang RM116 juta dirampas polis di kediaman Najib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share