Datuk Seri Dr Mujahid Yusof percaya Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah dapat embela nasib bekas isteri. ― Foto oleh Mukhriz Hazim

Mahkamah Khas Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah yang antara lain akan diberi kuasa menyita harta bekas suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dijangka beroperasi pada Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata setakat ini proses pengoperasian mahkamah berada pada peringkat akhir bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung pentadbirannya, sebelum ia dibentangkan di mesyuarat Kabinet.

“Ia dah berada di peringkat akhir yang mana di pihak AG (Peguam Negara), Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah memberikan pandangan masing-masing.

“Mungkin dalam tempoh dua minggu lagi ia dah bersedia untuk diserahkan kepada peringkat Kabinet. Kalau sudah serahkan ke Kabinet ia makan masa dua hingga tiga minggu sebelum diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hari Wanita 2019, di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Katanya pelaksanaan mahkamah tersebut menggambarkan komitmen Kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membela nasib bekas isteri yang diabaikan bekas suami.

Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 yang dianjurkan bersama oleh IKIM dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) membincangkan isu-isu berkaitan wanita termasuk penglibatan wanita dalam masyarakat dan organisasi.

Turut hadir pada majlis perasmian selama sehari tersebut adalah Ketua Pengarah IKIM Datuk Prof Dr Azizan Baharuddin dan Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad. — Bernama

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share