Penguatkuasa JHEAT yang terlibat sedang memberi penjelasan tentang kewajipan solat fardu kepada orang awam yang ditemui sempena kempen kesedaran solat fardu.

KUALA TERENGGANU – Individu Islam yang dikesan sengaja meninggalkan solat fardu di negeri ini boleh dihukum denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, mereka yang tiada alasan munasabah meninggalkan solat fardu boleh didakwa di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana kesalahan tidak menunaikan sembahyang fardu.

“Bagi kesalahan itu, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Tegasnya, tindakan yang dikenakan terhadap umat Islam di negeri ini adalah satu pelaksanaan yang relevan, malah masyarakat perlu tahu itu bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai pengajaran bagi mendidik umat Islam mematuhi perintah ALLAH menerusi pelaksanaan undang-undang.

“Tindakan itu juga, secara tidak langsung menunjukkan kasih sayang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mengelakkan umat Islam daripada terus melakukan dosa dan maksiat.

“Bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pula, peringatan menerusi pelbagai medium termasuk bertulis, secara lisan melalui ceramah selain turun padang mendekati masyarakat terutama golongan remaja hari ini bagi memberi kesedaran dan mengingatkan kepada mereka tentang pentingnya menjaga solat fardu,” katanya.

Penguatkuasa JHEAT turun padang mengedar risalah tentang kesedaran kewajipan menjaga solat fardu kepada orang awam di sekitar Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu di sini.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, seramai lapan lelaki Islam dicekup kerana didapati ponteng solat Jumaat sepanjang tempoh 2016 hingga November lalu.

Jelasnya, kesemua mereka ini didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan satu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan, individu itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Nik Zuhaiza berkata, penguatkuasaan itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah.

“Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia hadir ke masjid walaupun bukan secara sukarela dan siapa tahu hadirnya hidayah dan memberi kesedaran kepadanya,” ujarnya.

Beliau berkata, kempen dan kesedaran perlu diteruskan dan diperkasa lagi supaya selari dengan tindakan undang-undang yang diambil.

“Di bahagian penguatkuasaan, kami akan pastikan kempen kesedaran kepada umat Islam selari dengan penguatkuasaan yang diambil,” katanya. – Sinar Harian

KLIK BACA: Tabung Haji pun dinoda, apa jenis manusia – Kadir Jasin penasihat media PM Dr Mahathir

DIKEMASKINI: Baca penjelasan terperinci skandal TH yang cuba ditutup?

KLIK BACA: Dusuki syor Tun M taubat kerana sebut Malaikat buat silap.

KLIK BACA: Siapa Saadatul Nafisah ‘wanita berani’ dalam kes ubah laporan Audit 1MDB

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share