Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan pemimpin parti yang paling layak menjadi menteri, kata Setiausaha Agung parti itu Lim Guan Eng.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata Kit Siang merupakan anggota veteran parti yang paling berjasa dan banyak berkorban sepanjang beliau berkhidmat lebih 50 tahun dalam DAP.

“Beliau (Kit Siang) berjuang bertahun-tahun untuk parti, menghadapi banyak pendakwaan dan penganiayaan, keluar masuk penjara dan sudah dua kali kena ISA ( Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana politik.

“Saya yakin semua ahli pun bersetuju, Lim Kit Siang merupakan orang paling layak jadi menteri kerana perjuangan beliau, tetapi sayang beliau tolak untuk beri laluan kepada pemimpin muda,” katanya dipetik Bernama ketika berucap di Konvesyen DAP Selangor di sini hari ini.

Pada Mei lalu, Kit Siang dipetik sebagai berkata beliau tidak akan menyertai kabinet pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana DAP mempunyai bakat secukupnya untuk berkhidmat dengan kerajaan pusat.

Guan Eng turut menyeru anggota-anggota parti supaya tidak memainkan sentimen perkauman dan agama seperti mana yang dilakukan oleh parti-parti pembangkang.

Setiausaha agung DAP itu turut menganggap sentimen yang mainkan pembangkang semasa himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semalam amat berbahaya.

“Itu sesuatu yang tidak sihat sama sekali seperti mereka lupa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu bukan Melayu ke? Bukan Islam?

“Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bukan orang Melayu? Bukan Islam? Ini bahaya sentimen seperti ini.

“Saya dapat makluman bukan sahaja dari bukan Melayu dan bukan Islam tetapi daripada orang Melayu sendiri tentang perkara ini [sentimen perkauman].

“Tidak ada sebarang isu mereka buat isu, ICERD tidak diratifikasi tetapi mereka buat isu ini,” katanya dipetik NSTP.

Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam memberi amaran, orang Melayu akan bangkit sekiranya hak dan agama mereka di negara ini diusik.

Sebaliknya, Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggunakan sentimen perkauman bagi melawan tindakan pembangkang namun PH akan memastikan keadaan ekonomi yang lebih baik untuk dirasai rakyat berbanding pemerintahan Barisan Nasional (BN) 60 tahun lalu.

“Kita tidak mahu lawan emosi dengan emosi, sentimen dengan sentimen, tetapi kita harus lawan emosi dan sentimen ini dengan angka dan fakta.

“Sekiranya kerajaan PH boleh pulihkan keadaan ekonomi dan berikan satu harapan kepada rakyat bahawa kehidupan mereka boleh jadi lebih baik daripada BN, saya yakin, kita boleh kalahkan sentimen politik perkauman yang bahaya ini oleh pembangkang,” tambahnya.

KLIK BACA: Dusuki syor Tun M taubat kerana sebut Malaikat buat silap.

KLIK BACA: Ulama PAS doa pengundi PH jatuhkan kerajaan

KLIK BACA: Saya tolong orang Melayu, bukan memburukkan mereka – Tun Mahathir

KLIK BACA: “Saya turun jika himpunan ICERD tuntut pulang duit curi” – Tamrin Ghaffar

KLIK BACA: Siapa Saadatul Nafisah ‘wanita berani’ dalam kes ubah laporan Audit 1MDB

KLIK BACA: Kenapa Najib, Hisham tak tahu akibat perang Yaman basah darah Islam, soal Raja Bahrin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share