Skandal Tabung Haji [TH] berlaku di era pemerintahan Barisan Nasional [BN] dan bukan niat kerajaan Pakatan Harapan membalas dendam mendedahkannya seperti disyaki parti Islam PAS. – Foto Malaysiakini BM

oleh Raja Bahrin Shah

Ketua Penerangan Pusat PAS Nasrudin Hassan menyatakan harapan beliau supaya pendedahan skandal dana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) tidak menjadi “satu lagi siri balas dendam” kerajaan terhadap BN.

Inilah sikap keprihatinan beliau terhadap Umno yang memerintah lebih 60 tahun dan meninggalkan hutang lebih RM1 trilion untuk ditanggung rakyat Malaysia.

Perlu diingat mereka yang membuat laporan polis adalah pegawai-pegawai baru yang mengambil alih pengurusan Tabung Haji.

Jika tiada laporan dibuat, merekalah yang akan dipersalahkan atas apa jua salah tadbir atau salah guna kuasa kemudian hari.

Untuk melindungi diri daripada tuduhan salah laku, selepas mengaudit kewangan Tabung Haji mengikut peraturan mereka mestilah membuat laporan apa jua kesalahan yang dikesan.

Ini juga prosedur yang diperlukan untuk laporan kepada SPRM jika diperlukan.

Ia adalah prosedur biasa, dan tidak timbul langsung isu balas dendam seperti yang dicadangkan oleh Nasrudin Hassan. Malah tidak timbul isu teori konspirasi yang dramatik.

Mengimbas kembali skandal yang melanda negara kebelakangan ini, satu pola sikap sangat konsisten nampaknya telah wujud.

Apabila skandal 1MDB hangat dibahas sebelum PRU ke-14, Presiden PAS Abdul Hadi Awang menggesa Najib Razak dibenarkan menghabiskan penggal penuhnya sebagai perdana menteri.

Abdul Hadi juga menyatakan dalam skandal antarabangsa 1MDB yang luas – dan termasuk wujud elemen siber – wajib ada empat orang saksi.

Pelbagai alasan di beri untuk membela Najib.

Selepas tamat tempoh Najib memerintah, hutang 1MDB sebesar bukit jadi menggunung besarnya dan bertukar sebagai skandal mega bertaraf dunia.

Timbalan presiden PAS dan beberapa anggota jawatankuasa parti itu pula – setelah diberi taklimat oleh ketua pegawai eksekutif 1MDB ketika itu – menyatakan mereka “berpuas hati” dengan penjelasan Arul Kanda Kandasamy.

Keadaan itu berlaku ketika tidak ada seorang pun daripada mereka merupakan pakar kewangan atau akauntan.

Sekali lagi pelbagai alasan diberi untuk membela Najib.

Jelas kelihatan bahawa sekarang agenda membela Najib dan Umno menjadi keutamaan PAS.

Hari ini Najib dan beberapa orang lain berdepan puluhan – atau mungkin ratusan – tuduhan serius di Malaysia serta di seluruh dunia.

Selepas pimpinan atasan PAS menggesa Najib diberi peluang menghabiskan penggal sebagai perdana menteri, dan PAS juga berpuas hati tidak ada salah laku dengan penjelasan 1MDB, syarikat itu akhirnya mencatat skandal kewangan terbesar dunia!

Anggota kabinet Najib juga terlibat dengan bermacam tuduhan di mahkamah, malah ia melibatkan dakwaan salah laku pengurusan di agensi yang dekat dengan orang Melayu, seperti Felda, Mara dan Tabung Haji.

Boleh dikatakan semuanya melibatkan hampir 100 peratus kepentingan orang Islam dan Melayu yang diikrar PAS dan Umno kononnya untuk dibela mereka.

PAS – parti Nasruddin – banyak membisu dan lebih banyak memberi alasan lemah untuk tidak menekan isu 1MDB, selain pendedahan berkaitan Tabung Haji di parlimen sejak sebelum PRU ke-13 lagi.

Dakwaan balas dendam dalam isu Tabung Haji tidak timbul langsung kerana skandal itu bukan perkara yang baru ditimbulkan.

Rafizi Ramli telah menimbulkan isu salah guna kuasa dalam Tabung Haji beberapa tahun lalu malah beliau dibawa ke mahkamah untuk menghadapi tuduhan.

Sebenarnya Nasrudin dan rakan-rakannya gagal menjalankan tanggungjawab mereka semasa di parlimen kerana mereka terlebih dulu berpeluang membela nasib pendeposit Tabung Haji, iaitu masyarakat Islam dan Melayu.

Justeru sekarang janganlah pula cuba mengelirukan dan mengganggu siasatan kes Tabung Haji seperti mereka cuba mengelirukan dan membela Najib dalam skandal 1MDB.

Ingatlah sebahagian besar penyimpan dan pelabur Tabung Haji bukan sahaja orang Islam dan Melayu. Sebahagian besar mereka ialah petani, nelayan dan orang kampung yang kurang kemampuan.

Mereka marhaen yang terlebih terdahulu perlu dibela PAS berbanding Najib dan rakan-rakan Umno mereka.

Pembelaan itu mesti dibuat walaupun mungkin PAS terhutang budi dan terhutang derma daripada orang Umno.

DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH ialah pemimpin Amanah, timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, juga senator dari Terengganu.

KLIK BACA: Kenapa Najib, Hisham tak tahu akibat perang Yaman basah darah Islam, soal Raja Bahrin

KLIK BACA: Mahathir gagal tadbir Malaysia, kata Jho Low selepas didakwa gubah wang haram RM4 bilion

KLIK BACA: Dulu PAS bela Najib dan Umno, terlepas peluang bela TH, MARA dan Felda – Raja Bahrin

KLIK BACA: Rafizi: Terbukti, saya sanggup ke penjara kerana Tabung Haji

KLIK BACA: Razak Baginda lindungi Najib dalam kes Altantuya kenapa, soal peguam Americk Sidhu

KLIK BACA: Najib bantai PH, Petronas dijarah

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share