Anwar bakal Perdana Menteri dan calon paling sesuai menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah Muhyiddin. – Foto Malaysia Today

oleh Shahbudin Husin

Masalah paling utama dalam pentadbiran kerajaan sekarang ialah hampir semua menteri dan timbalan menteri tidak pernah ada pengalaman sebelumnya.

Kebanyakan mereka adalah orang baru yang pertama kali menjadi menteri atau timbalan menteri, bahkan ramai pula yang julung kali bertanding dalam pilihanraya serta bergelar sebagai Ahli Parlimen.

Kecuali Tun Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin, semua yang lain tidak pernah ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan tumbangnya BN menyebabkan mereka terus dilantik sebagai menteri atau timbalan menteri.

Malah, Dr. Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri juga tidak pernah ada apa-apa pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

Pengalamannya sebelum ini hanyalah sebagai Ketua Pembangkang dan isteri Timbalan Perdana Menteri sewaktu Anwar memegang jawatan tersebut.

Dengan itu, peranan beliau dalam membantu Tun Mahathir sebagai orang nombor dua dalam kerajaan tentu saja agak terhad kerana beliau sendiri dalam proses pempelajaran sebagai anggota kabinet dan selok belok pentadbiran.

Yang ada pengalaman selain Tun Mahathir hanyalah Muhyiddin di mana beliau pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan, malah pernah juga menjadi Menteri Besar Johor serta Timbalan Perdana Menteri.

Tetapi, seperti yang kita sedia maklum, kedudukan beliau hanyalah sebagai salah seorang anggota kabinet dengan memegang portfolio Menteri Dalam Negeri. Dengan itu, tugasnya dalam membantu atau mencurahkan pengalaman kepada anggota kabinet lain tentu saja agak terhad.

Dalam waktu yang sama, beliau juga baru saja menjalani pembedahan kini sedang menunjukkan proses pemulihan yang positif untuk segera kembali bertugas dengan cergas seperti sediakala.

Di waktu yang sama, tumpuan semasa kini lebih banyak terarah kepada Anwar yang dikatakan akan muncul sebagai Ahli Parlimen pada Oktober ini sebagai sebahagian daripada proses untuk beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Mahathir.

Tun Mahathir sendiri dalam kenyataan terbarunya berkata, beliau akan menyerahkan jawatannya kepada Anwar mengikut persetujuan yang telah dicapai dalam Pakatan Harapan serta akur dengan janjinya untuk menjadi Perdana Menteri selama tempoh dua tahun saja.

Dengan itu, jika tiada aral melintang, penyerahan kuasa daripada Tun Mahathir kepada Anwar akan berlaku pada Jun 2020 atau mungkin juga lebih awal daripada itu.

Apabila memperkatakan tentang Anwar sebagai sebagai bakal Perdana Menteri, mahu tidak mahu, calon yang paling sesuai dan tepat menjadi menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah Muhyiddin.

Tidak ada calon yang ada kelebihan dari segi pengalaman dan kewibawaan, baik daripada Bersatu, PKR, DAP atau Amanah selain beliau, untuk digandingkan dengan Anwar dalam menerajui negara ini.

Kedua-duanya pernah menjadi menteri, bahkan kebetulan juga pernah memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini.

Dengan yang demikian, gandingan Anwar dan Muhyiddin mewakili Pakatan Harapan dalam mentadbir negara selepas ini adalah yang terbaik serta mampu mengatasi pelbagai kelemahan berikutan kebanyakan menteri dan timbalan menteri tidak pernah ada pengalaman dalam pentadbiran kerajaan.

Dengan kedudukannya kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin bukan saja boleh berperanan sebagai pembantu yang berkesan kepada Anwar, malah dapat pula menunjuk ajar, mengawasi atau memantau menteri dan timbalan menteri yang belum ada pengalaman itu.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mendoakan agar Muhyiddin cepat pulih dan dapat kembali cergas seperti sediakala kerana Pakatan Harapan amat memerlukannya untuk bersama-sama dengan Anwar demi negara yang tercinta ini dalam fasa yang seterusnya.

KLIK BACA: Guan Eng bebas, SPRM baru sekarang pulak terkejut?

TERKINI: Najib bakal jadi PM semula ulang sejarah Tun Mahathir

KLIK BACA: Himpunan Pasir Salak – Melayu dah bangkit PRU14, Umno nak suruh bangkit apa lagi?

KLIK BACA:Skandal AS$12 juta agen perisik, Najib dan rakyat patut berterima kasih BN kalah PRU

KLIK BACA: Kenapa Najib atau kerajaan BN buat ‘perjanjian bodoh’ dengan China dan Singapura? – Datuk Kadir Jasin

KLIK BACA: Mahathir masuk PAS – Hadi oh Hadi, masalahnya Najib masih bersama Umno!

KLIK BACA: Rahim: Jho Low ranapkan kerjaya Perdana Menteri, punca tamatnya kuasa politik Umno

KLIK BACA: Najib presiden Umno yang paling malang…

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share