Najib Razak aktor politik terbaik sepanjang zaman. – Foto The Malaysian Times

oleh Shahbudin Husin

Semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, Najib Razak boleh dianggap sebagai seorang pemimpin yang bermuka selamba, berwajah “sardin” dan tidak peduli dalam banyak perkara tentang apa jua yang diperkatakan orang lain terhadap dirinya.

Beliau selalu bersikap tidak kisah dan tidak peduli bukan saja mengenai apa yang diperkatakan oleh pemimpin-pemimpin pembangkang ketika itu, malah juga oleh orangramai.

Meskipun ketika itu cemuhan, kritikan, sindiran dan kata-kata sinis terhadapnya hampir sarat di media sosial, tetapi barangkali kerana merasa terlalu berkuasa sebagai Perdana Menteri, di samping pengampu dan pembodeknya sentiasa menyanyikan lagu-lagu syurga untuknya, maka itulah sebabnya beliau boleh tampil selamba, “menyardin” sepanjang masa, tidak peduli apa-apa dan seolah-olah tiada dosa dilakukannya sebagai seorang pemimpin yang gajinya dibayar melalui titik peluh rakyat.

Walhal sebagai pemimpin, beliau seharusnya sentiasa peka serta prihatin dengan apa juga yang diperkatakan oleh orangramai mengenainya supaya dengannya beliau dapat sentiasa memperbaiki kelemahan dirinya.

Antara perkara yang selalu dikait dan diperkatakan secara serius, bukan saja oleh pihak pembangkang, tetapi juga orangramai tentang dirinya ialah berkaitan gaya hidup mewah, boros, membazir, berkenaan skandal 1MDB sehingga dalam akaun banknya ada beribu-ribu juta ringgit wang banyaknya, sistem pentadbiran, perlaksanaan projek tidak perlu serta pengurusan ekonomi negara.

Najib bukan saja tidak memperdulikan segala cemuhan, kritikan dan kata-kata sindiran yang ditujukan kepadanya, malah kerapkali pula seperti membalasnya dengan melakukan penampilan berjubah putih, bercampur gaul dengan para ulama serta berucap dengan menyelitkan falsafah Islam dan sebagainya.

Di Parlimen pula, selain sesekali menyindir pihak pembangkang, Najib dalam waktu yang sama melalui kuasa yang ada pada Speaker Parlimen ketika itu yang 120 peratus memihak kepadanya, tiada soalan berkaitan 1MDB dan dana RM2,600 juta yang masuk ke akaun bank peribadinya dibenarkan dibangkitan atau ditanyakan kepadanya.

Memang tidak mudah melakukan seperti apa yang dilakukan oleh Najib itu. Sesetengah pihak melihat beliau sebagai aktor politik terbaik dalam politik sedunia yang mungkin hanya kalah kepada lakonan pelakon-pelakon yang membawa watak ketua menteri atau seumpamanya yang biasa ditonton dalam filem-filem yang diterbitkan di India saja.

Secara umumnya, itulah watak Najib ketika sedang berkuasa dahulu.

Bagaimanapun, selepas kalah pilihanraya dan hilang kuasa, watak Najib berubah segala-galanya.

Di samping perlu menghabiskan banyak masa dengan peguambelanya berikutan sehingga ini tujuh pertuduhan sudah dihadapkan kepadanya, Najib kini seolah-olah ada banyak masa yang terluang untuk menjawab hampir semua perkara yang diperkata atau terkait dengannya.

Tidak kita sama ada perkara itu berkaitan 1MDB, kedudukan ekonomi, GST, MRT, LRT, Jho Low, Equanimity dan lain-lainnya atau sama ada ia dibangkitkan oleh Tun Mahathir, Guan Eng, Tony Pua dan sesiapa saja, Najib pasti akan tampil dengan jawapan balasnya yang segera lagi pantas.

Tidak cukup dengan bercakap kepada media secara langsung, beliau juga selalu menulis untuk menjelaskan mengenai sesuatu perkara itu melalui medium media sosial yang kemudian kerapkali pula dipetik serta dijadikan bahan siaran oleh portal-portal berita.

Pendeknya, betapa aktifnya Najib selepas ketiadaan kuasa sekarang ini sehingga hampir tiada hari yang tiada berita mengenai dirinya.

Dalam erti kata lain, sebagai seorang pemimpin, walaupun jawatan yang tinggal buatnya ketika ini hanyalah sebagai Ketua UMNO dan Ahli Parlimen Pekan saja, Najib dilihat lebih bertanggungjawab berbanding ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

Ada juga yang berkata, ini bermakna Najib lebih layak jadi pemimpin pembangkang berbanding mengetuai kerajaan. Perkara itu sekurang-kurangnya betul dari segi sikap bertanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin.

Sekali lagi, Najib juga sebenarnya berjaya tampil sebagai aktor politik terbaik sedunia kerana dalam beliau menjawab dan menjelaskan semua isu itu, tidak terlihat sama sekali rasa penyesalan, berdosa atau bersalah dalam dirinya.

Paling klasik, beliau turut menyatakan dosanya hanyalah kerana cuba melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Semua jawapan dan penjelasannya adalah seolah-olah beliau sentiasa di jalan yang benar sedangkan hakikatnya kerana salah laku dan skandal yang melingkari dirinyalah yang menyebabkan UMNO dan BN ditolak oleh rakyat.

Itulah Najib dan kehebatannya.

Ketika berkuasa atau setelah kalah pilihanraya, Najib dengan ini memang layak digelar aktor politik terbaik di dunia dan di sepanjang zaman.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku kritik politik terkenal. Tulisan adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.

KLIK BACA: Rakyat gembira Najib bukan PM, Umno-Pas tak payah kecoh manifesto PH

KLIK BACA: Kenapa Anwar tak tegur Abdullah Sani, rebut jawatan PM dari Tun Mahathir?

KLIK BACA: Nazri hilang jawatan terus ‘korner baring’ sokong PM Dr Mahathir

KLIK BACA: Lojikkah simpan barang kemas berjuta ringgit di rumah anak Rosmah? 

KLIK BACA: Pegawai Kastam marah Najib bocor maklumat cincin berlian Rosmah, kata bekas KP SPRM

KLIK BACA: Curi di Pejabat Perdana Menteri, mungkin hanya berlaku di Malaysia

KLIK BACA: Doa nasihat untuk Najib dan Rosmah yang serba tak tahu – Ana Ghoib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share