Najib Razak hormati kerja cemerlang Zeti sebagai Gabenor Bank Negara dan mendakwa tahu mengenai RM2.6. “Zeti tahu, saya ingat OK,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini. – Foto The Malaysian Times

oleh Shahbudin Husin

Walaupun kenyataannya sebelum ini mengenai wang RM2,600 juta telah disanggah oleh bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, Najib Razak nampaknya tetap berpegang kepada pendirian asalnya.

Pendirian asal Najib ialah kemasukan wang ke dalam akaun peribadinya itu diketahui oleh Zeti menjelang pilihanraya umum 2013 yang lalu.

Bagaimanapun, Zeti dalam kenyataannya kemudian menafikan beliau mengetahui mengenai kemasukan wang itu, sebaliknya mendakwa Najib telah memanggilnya pada 3 Julai 2015 dan meminta mengeluarkan kenyataan tiada sebarang kesalahan dilakukan berhubung akaun bank itu.

Dalam waktu yang sama, bekas Perdana Menteri yang telah dituduh atas tiga kesalahan pecah amanah dan satu pertuduhan rasuah Rabu lalu serta mungkin berpuluh tuduhan lagi bakal menantinya, juga tetap mengatakan sebahagian besar wang itu dipulangkannya kepada sumber yang sama.

Isu mengenai kemasukan wang tersebut barangkali tidak menjadi isu lagi kerana selain bukti-bukti telah banyak ditunjukkan, Najib sendiri turut mengakui mengenainya, meskipun pada awalnya beliau bermati-matian menafikannya.

Yang menjadi persoalan hanyalah siapa pemberi wang tersebut – adakah benar ia derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi atau wang lencongan daripada 1MDB?

Di sebalik Najib mengatakan ia sebagai derma, penyiasat antarabangsa dan DOJ mendapati wang tersebut berasal daripada 1MDB yang dimasukkan ke akaunnya melalui Tanore Finance Corporation, kepunyaan Jho Low.

Tun Mahathir Mohamad pula berkali-kali menolak wang itu sebagai derma dengan mengatakan “hanya orang Arab gila saja sanggup menderma wang sebanyak itu”.

Dalam hal ini, tidak kurang “gilanya” ialah bagaimana dan pernahkah seseorang yang diberikan derma sebanyak itu, tetapi kemudian memulangkan sebahagian besar daripadanya kepada penyumbang asalnya?

Terlanjur Najib tetap dengan pendirian bahawa wang RM2,600 itu sebagai derma serta telah memulangkan sebahagian besar daripadanya, isu berkenaan mungkin boleh dirungkaikan jika bekas Perdana Menteri itu berani bersikap jujur dan berkata benar mengenainya.

Kalau Najib mengatakan ia adalah derma dan telah memulangkannya, bolehkah beliau menunjukkan bukti kepada siapa wang tersebut dipulangkannya?

Beranikah beliau menunjukkan bukti slip bank mengenai sumber asal wang itu dipulangkan?

Hanya dengan keberanian mendedahkan bukti kepada siapa wang itu dipulangkan, barulah dapat diketahui sumber asal atau penderma sebenar wang yang dikatakan derma itu.

Siapakah nama kerabat Diraja Arab Saudi yang tercatat dalam slip bank pemulangan wang itu atau ia sebenarnya dipulangkan kepada Tanore Finance Corporation yang dalam dapatan penyiasatan antarabangsa dan DOJ adalah penyumbang asal wang tersebut?

Najib boleh saja mendedahkan bukti slip bank itu melalui laman facebook, twitter atau menerusi peguamnya.

Sebelum ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi juga turut disiasat SPRM berhubung kenyataannya mengenai wakil keluarga Diraja Arab Saudi yang dikatakan pemberi derma kepada Najib yang didakwa pernah ditemuinya.

Adakah nama wakil yang disebut Zahid Hamidi kepada SPRM itu sama dengan sumber asal di mana wang derma itu telah dipulangkan oleh Najib?

Mudah saja untuk Najib menghentikan semua pertikaian mengenai wang tersebut, segala-galanya terserah kepada sama ada beliau berani bersikap jujur dan berkata benar atau sebaliknya?

Atau, jika tidak, lebih baik beliau diam saja dan tunggu pertuduhan seterusnya di mahkamah yang pasti akan merungkai kebenaran akhirnya? – ShahbudinHusin | Susunan Majalah Review Malaysia – MRM

KLIK BACA: Syarikat emas saman Rosmah RM60 juta, barang kemas dirampas polis, kerajaan percaya milik negara!

KLIK BACA: Zunar: Saya rindu Najib yang cuba penjarakan saya selama 43 tahun

KLIK BACA: UMNO mesti lupakan Najib, Rosmah dijangka berdepan pertuduhan berkaitan rasuah, penipuan, penyelewengan, pecah amanah serta penggubahan wang haram.

KLIK BACA:  Tabung Najib tak perlu, pemimpin Umno kaya pakai Bentley rumah ada lif – Zaharin 

KLIK BACA: Tak hairan Najib simpan ratus juta dalam rumah, kata pelakon Ellie Suriaty

KLIK BACA: Lojikkah PM boleh dibeli 42 juta, soal Nazifuddin anak Najib

KLIK BACA: Umno tolong tangkap Jho Low cari siapa bunuh Altantuya InsyaAllah Malaysia aman makmur semula – Ana Ghoib

KLIK BACA: Najib ditangkap kita simpati tapi fikirkan bagaimana mewahnya JHO LOW

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share