oleh A Kadir Jasin

ALHAMDULILLAH isu berkaitan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baru selesai pada 4 Jun lalu berikutan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Sejak kita merdeka tahun 1957, kita sudah mempunyai 10 Peguam Negara, termasuk Thomas. Mereka adalah Thomas Vernor Alexander Brodie (1955–1959), Cecil M. Sheridan (1959–1963), Tan Sri Abdul Kadir Yusuf (1963–1977), Tan Sri Hamzah Abu Samah (1977–1980), Tan Sri Abu Talib Othman (1980–1993), Tan Sri Mohtar Abullah (1994–2000), Tan Sri Ainun Mohd Saaid (2001), Tan Sri Abdul Gani Patail (2002–2015), Tan Sri Mohamed Apandi Ali (2015–2018) dan Tommy Thomas.

Saya amat tertarik dengan apa yang Thomas katakan dalam temu ramah dengan media massa 6 Jun lalu, khususnya berkaitan dengan kebebasan bersuara dalam konteks Perlembagaan dan agenda reformasi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Thomas, antara lain, dipetik sebagai berkata bahawa jika kita menghargai kebebasan bersuara, kita mestilah mengamalkan kebebasan bersuara. Dan kebebasan bersuara bererti sesiapa saja boleh mengkritik kamu. Saya gembira memberi peluang kepada siapa saja mengkritik saya.

“Ia adalah sebahagian daripada kebebasan bersuara. Dan saya tidak peduli sedikit pun jika dikritik. Sebaliknya saya lebih rela mendengar kritikan daripada pujian dan benda-benda baik. Saya tidak ada masalah langsung. Dan sila teruskan kerana jika anda menghargai kebebasan bersuara, anda perlu mengkritik,” tambah Thomas.

Saya ucapkan syabas dan terima kasih kepada beliau, dan saya sahut cabaran beliau dengan memberi nasihat kepada beliau untuk cuba menggunakan Bahasa Kebangsaan di samping bahasa Inggeris. Itu nasihat. Kritik kemudian jika perlu.

Dwi-bahasa adalah pendekatan kerajaan baharu yang mahu menjadikan perkhidmatan awam kita kembali mengamalkan dasar tersebut.

Untuk itu, Kabinet dalam mesyuaratnya Rabu lalu telah memutuskan agar pegawai tertinggi kerajaan mengambil ujian kefasihan bahasa Inggeris.

Saya hendak campur semangkuk dengan mencadangkan agar pegawai yang sama mengambil ujian kefasihan bahasa Melayu kerana sebenarnya penguasaan bahasa Melayu juga amat tidak memuaskan.

Ini boleh kita lihat daripada surat-menyurat rasmi dan bahasa lisan yang lebih berupa bahasa pasir atau manglish (campuran Melayu-Inggeris).

Berbalik kepada idealisme kebebasan bersuara yang Thomas katakan itu, saya amat bimbang ianya tidak akan tercapai sekiranya masyarakat kita masih terperangkap dalam penjara minda zaman kerajaan Umno-Barisan Nasional.

Untuk mencapai keunggulan kebebasan bersuara era rakyat ini, kita perlu terlebih dahulu mengubah pemikiran segenap lapisan masyarakat – daripada raja dalam istana kepada si papa di Lorong Haji Taib – agar memahami dan menerima realiti baharu yang sedang diserlahkan oleh kerajaan baharu PH.

Dalam konteks ini peranan media massa – tidak kira media bebas, persendirian, dimiliki parti politik atau kerajaan – wajib selari dengan realiti, aspirasi dan idealisme baharu ini. Zaman ikut telunjuk pemerintahan kleptokrasi sudah dihanyutkan jauh ke laut oleh tsunami rakyat 9 Mei.

Wartawan, pengarang, blogger dan warga media sosial wajib diberikan kebebasan bersuara dengan syarat mereka mengamalkan standard kebertanggungjawaban yang berpatutan.

Banyak pengamal media dalam ketakutan dan tidak dapat memanfaatkan kebebasan bersuara kerana mereka tidak faham hukum-hakam kewartawanan dan komunikasi massa. Kalau wartawan tidak faham apatah lagi masyarakat umum.

Wartawan boleh menulis isu-isu yang disifatkan sebagai sensitif atau taboo tanpa menghadapi risiko dikenakan laporan polis atau saman malu kalau mereka faham hukum-hakamnya.

Dalam hal ini saya memohon jasa baik Peguam Negara agar memberi kefahaman kepada polis mengenai kebebasan bersuara, khususnya hak media massa.

Dalam amalan kewartawanan yang diajarkan kepada saya apabila saya memulakan kerjaya ini pada tahun 1969, wartawan tidak boleh dikenakan tindakan seperti saman atau siasatan polis selagi proses pelaporan tidak selesai.

Hujah pembelaan diri yang paling utama bagi wartawan dan pertubuhan media ialah hak menyiarkan maklumat atau dalam bahasa Inggeris the right to publish. Hak itu dijamin oleh Perlembagaan.

Kedua memberikan hak kepada sesiapa saja yang tersentuh oleh laporan media massa menjawab bagi membela diri. Dalam bahasa Inggeris disebut the right of reply.

Orang ramai yang berasa diri mereka dianiaya oleh media massa tetapi tidak menggunakan hak menjawab tidak boleh mengambil tindakan undang-undang atau membuat laporan polis.

Kalau mereka lakukan sekali pun kes mereka selalunya tidak akan dilayan oleh mahkamah. Jadi jawab dulu hujah media massa sebelum bergegas ke balai polis atau pejabat peguam untuk mengemukakan saman malu.

Hanya selepas orang yang berasa dianiaya itu meminta diberi ruang untuk menjawab tetapi dinafikan oleh organisasi media, barulah dia boleh mengambil tindakan undang-undang.

Kesimpulannya kalau kita hendak menyemarakkan idealisme kebebasan bersuara seperti yang disarankan oleh Thomas itu, jabatan beliau sendiri hendaklah membantu memberi kefahaman kepada pihak-pihak yang terbabit seperti media massa, polis, pendakwaan dan kehakiman.

Kita wajib menggalakkan perbahasan bukan menyekat hak yang diberikan dan dijamin oleh Perlembagaan.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin Tokoh Wartawan Negara.

KLIK BACADi mana salahnya apabila blogger A Kadir Jasin 

KLIK BACA: Agong potong gaji sendiri, arah batal Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Istana Negara tahun ini

KLIK BACA: Bukan mudah walaupun ramai tunggu Najib ditangkap, kata Dr Mahathir di Jepun

KLIK BACA: Dr Mahathir mengaku tiada bukti saya curi wang 1MDB – Najib

KLIK BACA: Jho Low serah sendiri surat, PM Tun Mahathir tak beri muka

KLIK BACA: Kerajaan tak akan guna wang curi untuk bayar haji, kata Dr Mahathir di Jepun

KLIK BACA: Umno perlekeh lawatan Tun M ke Jepun, Malaysia negara koboi?

KLIK BACA: Teori RAHMAN terbukti benar, Najib Perdana Menteri terakhir UMNO

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE