Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dikatakan menolak cadangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan lanjut skandal pemindahan wang RM42 juta (AS$10.6 juta) daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke akaun Datuk Seri Najib Razak walaupun bukti ditemui pada akhir tahun 2015.

Pendedahan itu dibuat seorang daripada ahli panel penyiasat, Lim Chee Wee menerusi temu bual khas kepada agensi berita antarabangsa, Reuters.

Chee Wee berkata, pada akhir tahun 2015, SPRM mengemukakan bukti Najib menerima RM42 juta daripada unit 1MDB SRC International kepada Apandi tetapi ditolak oleh beliau.

“Peguam Negara enggan menjalankan siasatan lanjut meskipun ada bukti menyatakan Najib menerima secara langsung atau tidak langsung RM42 juta daripada SRC,” katanya.

Chee Wee dan seorang lagi ahli panel, P Sundramoorthy yang juga ahli kriminologi dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, Apandi turut menolak permintaan berulang SPRM untuk mendapatkan bantuan undang-undang kerajaan asing bagi mengesan kehilangan dana daripada 1MDB.

Beliau berkata, penyiasat tidak dapat menjejaki dana terbabit kerana ia sudah ke luar negara.

“Kami konsisten memberitahu Apandi, supaya memohon bantuan undang-undang dari bidang kuasa lain untuk menjejaki wang terbabit kerana kami hanya tahu pergerakan wang itu ketika di Malaysia, tetapi apabila ia meninggalkan Malaysia, kami tidak tahu di mana wang itu pergi,” katanya.

Chee Wee yang juga seorang peguam adalah antara lapan ahli panel ditugaskan pada awal tahun 2016 untuk mengkaji siasatan dilakukan SPRM ke atas pemindahan UA$681 juta yang dilaporkan ke dalam akaun Najib dan transaksi berkaitan SRC.

Lim Chee Wee – foto fatbidin com

SPRM melantik panel berkenaan sebagai sebahagian daripada proses kajian semula selepas cadangannya ditolak Apandi.

Pasukan panel terbabit diberikan taklimat terperinci, selain mempunyai akses penuh ke fail SPRM.

Sundramoorthy pula berkata, berdasarkan rumusan panel penyiasat, mereka berpendapat kes berkenaan tidak sepatutnya ditutup kerana ada maklumat menarik untuk meneruskan siasatan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengingati jumlah sebenar wang disyaki SPRM diterima oleh Najib daripada SRC.

Namun, Chee Wee dan Sundramoorthy, masing-masing enggan memberi butiran khusus mengenai kes berkenaan memandangkan dokumen terbabit dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) Malaysia.

“Kekecewaan terbesar kepada kami adalah Apandi kerana SPRM profesional dan mereka melakukan tugas dengan baik. Namun, tangan mereka (SPRM) terikat oleh Peguam Negara,” katanya.

Peguam Najib sebelum ini memberitahu Channel NewsAsia pada Januari 2016 bahawa mantan perdana menteri itu menafikan menerima RM42 juta daripada SRC ke dalam akaun bank peribadinya.

Untuk rekod, SRC kini tidak lagi menjadi unit di bawah 1MDB, sebaliknya berada di bawah Kementerian Kewangan.

Bagaimanapun, usaha Reuters untuk mendapatkan komen Apandi yang kini sedang bercuti gagal apabila beliau enggan mengulas, manakala SPRM tidak memberikan maklum balas diminta.

Najib yang dijatuhkan dalam kejutan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu sebelum ini secara konsisten menafikan salah laku berkaitan dakwaan rasuah membabitkan 1MDB dan menegaskan dana AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang disimpan dalam akaun bank peribadinya adalah sumbangan daripada Kerajaan Saudi, selain tambahan RM42 juta daripada SRC.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas dilantik berikrar untuk menyiasat skandal 1MDB dan mengambil tindakan terhadap mereka yang mungkin bersubahat atau mendapat faedah daripada rasuah dana berkenaan.

Dianggarkan, sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat dan Switzerland, menyiasat tuntutan bahawa AS$4.5 bilion (kira-kira RM17.77 bilion) didakwa adalah daripada 1MDB.

Dr Mahathir kelmarin memaklumkan Apandi sudah diarahkan bercuti dan tugas beliau diambil alih Peguam Cara Negara, Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek. – Reuters | MRM

KLIK BACA: Najib pasti kena cekup dalam sehari dua ini – Shahbudin Husin

KLIK BACA: Shafee, Najib jangan lupa Anwar sudah bebas

KLIK PANAS: Bekas Pengarah Risikan dan Siasatan SPRM buat laporan terhadap Najib…isu dana KWAP dan 1MDB

KLIK BACA: PM Mahathir tolak sebarang penyertaan atau kerjasama Umno-Harapan…

KLIK BACA: Razak Baginda kata kematian Altantuya ‘hanya pembunuhan biasa’….

KLIK BACA: Pascal rayu PM Dr Mahathir bantu kes pembunuhan bapanya Hussain Najadi

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share