PRU14 pengundian pada hari bekerja menunjukkan Najib sedar peluang BN kian terdesak dan merendahkan peratusan yang keluar mengundi. – Foto Free Malaysia Today

oleh Shahbudin Husin

Tarikh yang munasabah dan selesa yang seharusnya dipilih oleh SPR untuk mengadakan pengundian bagi PRU 14 ini ialah 5 Mei, manakala penamaan calon pula pada 22 April.

Jika tarikh tersebut dipilih oleh SPR, ia tentunya tidak mendatangkan kritikan dan kecaman terhadap peranan serta kewibawaan badan pengendali pilihanraya itu.

Tetapi, dengan mengabaikan tarikh itu, kemudian memilih pula Rabu, 5 Mei iaitu hari bekerja sebagai hari pembuangan undi, tanggapan ramai ialah SPR dilihat terpaksa akur kepada kehendak politik UMNO dan BN yang sedang kelemasan untuk menahan kebangkitan rakyat ketika ini.

Mereka yang bekerja, sama ada di sektor kerajaan atau swasta, adalah golongan yang paling terdedah kepada ledakan maklumat dan hampir setiap daripada mereka mempunyai telefon pintar dalam tangan masing-masing.

Berikutan itu, golongan ini jugalah yang pada hakikatnya lebih tahu dan terdedah kepada salah laku pemimpin UMNO dan BN kerana maklumat-maklumat baru boleh dikatakan hampir setiap minit masuk ke dalam pemikiran mereka melalui telefon pintar yang dimiliki itu.

Secara majoritinya, berbanding orang kampung, penduduk luar bandar dan makcik-makcik Felda yang masih menggunakan telefon analog dan tidak terdedah kepada maklumat baru, selain akhbar dan berita tv jam 8.00 malam serta masih kekal taksub kepada UMNO dan BN, mereka yang bekerja ini lebih terbuka serta percaya perubahan adalah sesuatu yang baik untuk masa depan mereka dan negara.

Mengadakan hari pengundian pada hari bekerja tidak lain ialah bertujuan agar golongan ini tidak ramai yang keluar mengundi, terutama pengundi luar atau mereka yang tempat kerjanya agak jauh dengan tempat mengundi.

Dengan keadaan itu, BN percaya peluang mereka memenangi pilihanraya adalah lebih terbuka kiranya peratusan keluar mengundi ini dapat direndahkan, lebih-lebih lagi jika kerahan keluar pengundi kepada penyokong sendiri dapat dilipatgandakan lagi.

Hakikat mudahnya ialah mengadakan pengundian pada hari bekerja menunjukkan Najib sedar peluang BN kian terdesak dan merendahkan peratusan yang keluar mengundi adalah pilihan yang dilihat mampu menjernihkan peluang kemenangan mereka.

Keterdesakan ini bukan kali pertama dialami Najib. Sebelum ini beliau terpaksa menunggu kelulusan persempadanan baru di Parlimen terlebih dahulu sebelum berani membubarkan Parlimen.

Sebab itu, usul persempadanan baru kali ini hanya diperdebatkan hanya selama dua jam sebelum diluluskan dengan setiap Ahli Parlimen cuma diberi ruang selama 10 minit saja untuk membahaskannya.

Tanpa adanya persempadanan baru yang dilakukan oleh SPR itu, Najib langsung tiada keberanian untuk membubarkan Parlimen sehingga membuatkannya menunggu ke penghujung tempoh untuk berbuat demikian.

Kemudian daripada itu, sebelum berani membubarkan Parlimen, Najib juga perlu menunggu ROS bertindak membubarkan Bersatu terlebih dahulu.

Sehari selepas ROS mengadakan sidang akhbar secara mengejut mengumumkan pembubaran Bersatu, barulah Najib ada keberanian membubarkan Parlimen, itu pun dengan riak yang tergambar garis-garis ketakutan pada wajahnya.

Ini secara langsung menunjukkan Najib sedar akan kekuatan Bersatu dan beliau benar-benar tidak selesa dengan kewujudan parti itu yang dipercayai mampu menggugat sokongan rakyat terhadap calon-calon UMNO.

Keterdesakan Najib untuk menang sehingga beliau dilihat memperalatkan ROS dan SPR secara berlebih-lebihan dengan sendirinya memperlihatkan keutamaannya bukan lagi tentang rakyat.

Jika rakyat sanggup disusahkannya ketika hari pengundian, matlamat politiknya lebih diutamakan melalui ROS dan SPR, apakah kita boleh percaya bahawa Najib tidak mungkin memberi kesusahan yang lebih berganda kiranya terus diberikan kuasa?

Malah yang lebih menakutkan kita, sebagaimana jangkaan sebuah badan pemikir Amerika Syarikat, Najib dipercayai akan lebih menindas jika menang lagi pada PRU 14 nanti.

Terdesak untuk menang dan terdesak untuk menguruskan kerajaan yang kekurangan wang, sudah pasti rakyatlah sasarannya.

Inilah yang seharusnya menakutkan kita tentang Najib yang sedang terdesak ini.

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel pertama kali disiarkan di blog beliau tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.

KLIK BACA: Rafidah jawab Hisham sepupu Najib, Demi Allah setiap inci tanah tentera diswastakan

KLIK BACA: Mahathir tak masuk wang negara dalam poketnya, kata Shafie Afdal

KLIK BACA: Wardina: Penat dengan pemimpin bodoh, rasuah jadikan diri kaya-raya

KLIK BACA: Rakyat bukan setia sesuka hati mereka tidak bodoh – Kadir Jasin

KLIK BACA: Veteran Umno Zaharin: Tentera, polis patut setia kepada Agong bukan parti Najib?

KLIK BACA: Kadir Jasin: Tidak semua penjawat awam, polis, tentera, tali barut

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share