Pengarah Strategi Amanah Dr Dzulkefly Ahmad mengulas kenyataan Datuk Seri Najib mengenai impak penghapusan GST dalam manifesto Pakatan Harapan. – Foto FMT

oleh Dr Dzulkefly Ahmad

PERDANA Menteri Najib Razak semalam mendakwa Malaysia bakal menjadi “negara defisit” kalau tidak ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Kalau beliau lupa, Malaysia sudahpun menjadi “negara defisit” di segi mengalami “defisit fiskal” melepasi dua dekad!

Sejak Najib mengambil alih pada 2009, “defisit fiskal” pada hakikatnya meningkat, bukan menurun kerana Najib menyembunyikan perbelanjaan pembangunan dalam belanjawan setiap tahun dengan cara “perbelanjaan di luar bajet” atau “off-budget” atau “off-balance sheet spending” untuk menurunkan angka defisit fiskal nisbah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Curang!

Berbilion ringgit dalam projek-projek pembangunan infrastruktur mega seperti MRT, ECRL dibuat di luar belanjawan, tetapi masih dijamin kerajaan.

Jumlah hutang seperti ini atau “contingent liabiliti” (CL) kini berjumlah RM226.88 bilion. Ini tetap dikira hutang kerajaan, andainya gagal dibayar.

Hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbilion ringgit. Contohnya, yang dijamin pinjaman bonnya oleh kerajaan, sekarang ini mesti dibayar oleh kerajaan.

Hakikatnya, hutang kerajaan sebenarnya melepasi had statutori 55% KDNK!

Hutang negara meningkat purata sebanyak 10.8%, sejak 2009, sementara pendapatan meningkat hanya pada kadar purata 4.9% setahun.

Kini hutang kerajaan pusat ialah RM687.43 bilion. Pada kadar 10.8% pertumbuhan hutang, ramalan hutang kerajaan akan mencecah RM1 trilion pada 2021!

Najib jangan hendak temberang dan menakut-takutkan rakyat tentang Greece, yang sebenarnya bankrap kerana masalah hutang khasnya yang “disembunyi” macam Najib buat sekarang (contingent liabilty). Aduh!

Jadi, isu sebenarnya adalah disiplin pengurusan kewangan yang jelek dan tempang oleh Najib.

“Perbelanjaan pengurusan” terus meningkat sejak 2009 dan peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri mengambil jumlah yang sebesar RM20 bilion.

Najib juga membuat bajet tambahan hampir dua kali setiap tahun sejak 2009! Perbelanjaan boros dan tidak efisien serta tiris punca defisit fiskal negara.

Bayar faedah bunga hutang kerajaan pusat kini mencecah RM30 bilion berbanding RM12.9 bilion pada 2007.

Ini bersamaan 13% pendapatan negara atau 75% daripada pungutan GST (RM40 bilion). Jadi, pungut GST adalah untuk bayar hutang! Alahai Najib!

Lalu, Najib jangan bermudah meningkatkan pendapatan kerajaan dengan mengenakan cukai GST yang mencekik rakyat dan sekali gus menarik beberapa bilion daripada subsidi atas barang-barang keperluan rakyat.

Akibatnya, rakyat terbeban dengan kenaikan kos harga barang dan perkhidmatan keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan kesihatan.

Pakatan Harapan (PH) sangat jelas bagaimana kami akan mengurus kewangan negara khususnya mengatasi “defisit” RM25 bilion ketika GST dihapuskan.

Banyak kaedah untuk menjana pendapatan selain cukai penggunaan, GST. Sudah kerap kami terangkan.

Sebagai contoh, menutup lubang-lubang kebocoran akan menyelamatkan berbilion ringgit dalam urusan perolehan mega dan perbekalan pembangunan dengan tadbir urus baik, seperti kami buktikan di Selangor dan Pulau Pinang bakal menjana purata 20% penjimatan daripada seluruh perolehan kerajaan pusat.

Semakan kali terakhir, jumlah perbelanjaan perbekalan (bukan gaji) dan kenaan tetap adalah RM136 bilion! Ambil sahaja potensi penjimatan pada kadar 15%, maka kerajaan PH akan menjana RM21bilion!

Begitu juga kerancakan ekonomi akibat rakyat yang tidak dicukai dengan GST, mengizinkan RM20 bilion yang tidak dirampas dek kerajaan dengan GST, boleh dibelanjakan rakyat sekali gus meningkatkan keupayaan membeli atau “purchasing power” rakyat.

Jelasnya, ia meningkatan pendapatan boleh berbelanja (disposable income) rakyat.

Peningkatan permintaan (demand) domestik dan isi-rumah, akan merancakkan bekalan (supply) oleh industri dan pengilang, sekali gus meningkatkan keuntungan korporat dan akhir peningkatan cukai korporat yang lebih tinggi dibayar kepada kerajaan.

Najib buat-buat tidak faham perjalanan ekonomi atau mungkin sungguh tidak faham. Beliau mengambil jalan mudah untuk mencekik rakyat dengan kenakan GST dan tarik balik subsidi untuk meningkatkan pendapatan negara.

Mudah ceritanya, Najib jangan mengelirukan rakyat kononnya negara ini mengalami defisit kalau tidak ada GST!

Dengan tadbir urus ekonomi Najib yang berjenama “4B” (bolot, bocor, boros dan bazir) itu, gunung pun boleh rata…Aduh! – 13 Mac, 2018.

* Dr Dzulkefly Ahmad adalah pengarah Strategi Amanah. *Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili MalaysiaDreamNews.

KLIK BACA: Siapa polis cuba lindungi dalam kes 1MDB, soal Tony Pua

KLIK BACA: Tulisan penuh TH Subky Latiff – Menyiasat Jho Low seperti menyiasat Najib

KLIK BACA: Tulisan terakhir Tan Sri Sanusi Junid – kita perlu jadi bangsa yang berani…

KLIK BACA: Tulisan mengejutkan Tan Sri Sanusi – Sirul pembunuh Altantuya?

KLIK BACA: Tun Mahathir jantan berani dari MO1 – peguam Hanipa Maidin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share