oleh Raja Kamarul Bahrin

Baru-baru ini, terpampang keangkuhan Barisan Nasional (BN) di media cetak dan elektronik bahawa BN akan terus berkuasa walaupun pelbagai masalah kos sara hidup rakyat yang muncul dan hak royalti minyak rakyat Terengganu yang terus dinafikan. Jelas ini merupakan satu penghinaan besar kepada rakyat Terengganu.

Terengganu di bawah kekuasaan Umno-BN lebih 60 tahun telah menafikan hak royalti minyak yang sepatutnya menjadi hak kepada rakyat Terengganu.

Malah Datuk Menteri Besar Terengganu turut membisu dan tidak bersama dengan rakyat agar menuntuk hak royalti sepertimana perjanjian asal yang pernah ditemeterai dahulu.

Saya selaku pengerusi Pakatan Harapan Terengganu bersama rakan-rakan pimpinan PH Terengganu akan sentiasa komited memperjuangkan hak royalti minyak yang telah dirampas Umno-BN dan dikembalikan kepada seluruh rakyat Terengganu.

Kenapa Penting Hak Royalti Minyak Untuk Rakyat Terengganu?

1. Membasmi kemiskinan negeri Terengganu yang kini mencatat kemiskinan rakyat antara yang tertinggi di Malaysia.
2. Memulihkan sektor ekonomi penting negeri Terengganu seperti pertanian, perindustrian dan pelancongan.
3. Meningkatkan pendapatan rakyat berpendapatan rendah.
4. Menyediakan lebih banyak fasiliti awam yang berkualiti seperi jalan raya, elektrik, air di pedalaman dan kampung-kampung.
5. Meningkatkan keselamatan perairan Terengganu dan memulihkan ekosistem akuatik.

Lima perkara penting ini hanya beberapa yang diambil daripada banyak aspirasi rakyat, bayangkan sekiranya dana negeri Terengganu meningkat sekiranya royalti minyak dikembalikan, saya percaya banyak yang boleh kita capai dengan jayanya.

Apakah Terengganu bukan negeri berdaulat?

Jika dibandingkan Sarawak, mereka telah dilayan lebih baik dalam hak royalti mereka. Namun berbanding dengan Sarawak, kami di Terengganu kini telah kehilangan segala hak kami!

Kebanyakan rakyat Terengganu pula terpaksa berhadapan dengan kekangan hidup yang amat perit sedangkan negeri ini merupakan pengeluar minyak dan pernah dikenali sebagai ‘Kuwait Malaysia’.

Kemelut ekonomi Terengganu juga sedang membelit seluruh kehidupan rakyat sehingga ke pundak. Rakyat Terengganu – khususnya anak muda – ramai tiada sumber pekerjaan tetap termasuk mahasiswa yang menjadi penganggur.

Bermula dari 1978, di bawah fasal 2 Perjanjian Royalti seperti yang telah dipersetujui oleh semua pihak, kerajaaan Terengganu telah menerima bayaran royalti dengan bayaran sulungnya sebanyak RM5.7 juta daripada Petronas.

Perjanjian ini adalah seperti dikehendaki Akta Kemajuan Petroleum 1974, yang telah diluluskan kerajaan pimpinan Tun Abdul Razak Hussein di Parlimen pada 15 November 1974.

Malangnya, pembayaran wang royalti secara tunai kepada Terengganu menurut perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 telah dimansuhkan pada 5 September 2000 dan digantikan dengan “wang ehsan” yang dikendalikan terus oleh pusat.

Lebih malang lagi Petronas juga memaklumkan secara rasmi pada 25 September 2015 bahawa: “Petronas tidak lagi terikat secara undang-undang untuk membuat sebarang bayaran tunai kepada Terengganu di bawah Perjanjian Pembayaran yang ditandatangani Petronas dengan kerajaan Terengganu”.

Ini berdasarkan terma di dalam negeri bahawa “kerajaan Terengganu tidak lagi berhak menuntut hasil wang royalti kerana segala penemuan telaga minyak adalah di luar tiga batu nautika yang diukur dari garis air surut persisiran pantai negeri”.

Menurut tafsiran diatas, kerajaan Terengganu kini tidak mempunyai sebarang hak atas apa jua tuntutan hasil minyak dan gas yang terletak di perairan negeri.

Semua telaga minyak yang ditemui selama ini dan terletak di perairan Terengganu bukan lagi menjadi milik ‘sah’ kerajaan Terengganu kerana kedudukannya di luar dari tiga batu nautika.

Umno Terengganu bersetuju untuk hak royalti rakyat Terengganu terus dirampas?

Nyata, sehingga hari ini, tiada langsung usaha yang dijalankan oleh Umno Terengganu apatah lagi kerajaan negeri Terengganu dan Menteri Besar untuk menuntut kerajaan persekutuan mengembalikan hak royalti minyak Terengganu.

Umno-BN adalah pengkhianat terbesar dalam usaha rakyat untuk mengembalikan hak royalti kembali ke rakyat Terengganu.

Adakah pimpinan Umno- BN Terengganu lupa akan jasa besar rakyat Terengganu?

Negeri Terengganu telah meyumbangkan hasil minyak dan gas kepada kerajaan persekutuan sejak hampir 40 tahun dengan pengeluaran hasil bernilai ratusan bilion ringgit untuk sama-sama membangunkan ekonomi negara kita cintai ini.

Selama bertahun-tahun, rakyat Terengganu telah berkompromi dengan kerajaan pusat untuk bersama berkongsi hasil kerana mengambil semangat perjanjian bersama yang telah ditandatangani pada 1975.

Namun, apakah wajar royalti sebanyak 5 peratus yang diterima kerajaan Terengganu dari 1978 hingga beberapa tahun lalu terbatal sepenuhnya dan dianggap sebagai “ehsan” dan “dana khas” daripada kerajaan persekutuan?

Apakah wajar perjanjian royalti minyak antara kerajaan negeri dengan persekutuan dan Petronas yang ditandatangani sejak 1975 juga sudah dianggap sebagai terbatal?

Lebih malang lagi, telaga minyak Bertam Blok PM 307 yang ditemui dan sah terletak di perairan Terengganu baru-baru ini telah ‘diserah’ sepenuhnya kepada kerajaan Pahang.

Malah, Lundin Oil yang merupakan syarikat cari gali berpengkalan di Sweden yang melaksanakan kerja-kerja cari gali di kawasan berkenaan dengan kerjasama Petronas Carigali mengesahkan bahawa Bertam Blok PM 307 ini terletak di perairan Terengganu.

Rakyat Terengganu yang mahukan hak royalti minyak dikembalikan, maka seluruh rakyat Malaysia dan khususnya rakyat Terengganu perlu menolak Umno-BN di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri dan memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) demi pengembalian hak royalti yang lebih adil demi rakyat Terengganu.

*Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah adalah Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Rencana adalah pendapat peribadi penulis yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.

KLIK BACA: Jamal Yunos biadab suruh Tun Mahathir taubat

KLIK: Video kuliah Dr Radzi Jidin skandal penyelewengan wang negara paling dahsyat

KLIK BACA: “Apakah Jho Low berjasa kepada negara berbanding Dr Mahathir yang dikutuk hina”

KLIK BACA: Rafizi kena penjara, tapak projek NFC naik belukar

KLIK BACA: Najib lebih parah berbanding Marcos, kata Tun Mahathir

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share