oleh Shahbudin Husin

Untuk kesekian kalinya, Tun Mahathir Mohamad dirawat lagi di Institut Jantung Negara atau IJN kerana tidak sihat. Kali ini beliau dilaporkan mengalami jangkitan di dada susulan masalah batuk yang dihidapinya.

Tetapi, keadaan beliau diberitakan baik-baik saja dan hanya dinasihatkan untuk berehat bagi beberapa hari, sambil keadaan kesihatannya akan dipantau oleh doktor-doktor pakar.

Tun Mahathir sudah menjangkau usia 93 tahun dan setiap kali beliau tidak sihat, seterusnya terpaksa menerima rawatan di IJN, sebenarnya itulah nilai pengorbanan beliau untuk menyelamatkan negara ini.

Tun Mahathir hakikatnya terlalu kuat bekerja. Beliau hampir tiada rehat. Programnya sarat di sana sini. Kalau di pejabat, jadual temujanjinya padat setiap hari dan bermula seawal 8.30 atau 9.00 pagi lagi.

Mesyuarat Bersatu dan Pakatan Harapan semua dipengerusikannya dengan penuh disiplin dan selalunya akan mengambil masa berjam-jam lamanya. Semua itu tentunya memenatkan, lebih-lebih lagi dalam keadaan usia sepertinya.

Tetapi itulah pengorbanan Tun Mahathir untuk menyelamatkan negara ini agar kita dan generasi akan datang dapat hidup dengan lebih baik lagi di masa akan datang.

Kalau diikutkan, Tun Mahathir boleh saja hidup senang-lenang dan berehat seadanya sebagai seorang negarawan yang dihormati. Beliau sudah menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, sumbangannya tak ternilai dan tiada siapa akan marah jika beliau hanya mahu berehat dan tidak mengambil tahu lagi apa-apa masalah masalah negara ini.

Lebih dari itu, anak-anaknya juga sudah dewasa dan ada kehidupan masing-masing. Tiada apa lagi yang perlu dikejarnya dalam sisa-sisa usia yang tinggal.

Namun, kerana sayangnya kepada negara dan tidak mahu Malaysia terus rosak dan binasa, Tun Mahathir sanggup menggagahkan dirinya untuk bangkit daripada persaraan dan berjuang sekali lagi.

Perjuangan itu pula tidaklah mudah. Banyak ranjau, onak, duri dan rintangan kena dilaluinya, malah caci-maki dan penghinaan pun turut datang sekali menghujaninya.

Bukan saja macai, pengampu dan pembodek penguasa yang melayan Tun Mahathir seolah-olah beliau tidak pernah berjasa kepada bangsa dan negara, bahkan Najib sendiri selalu bersikap kasar dan melekehkannya.

Dalam semua keadaan dan cabaran itu, ditambah dengan usianya sebegitu, tidak menghairankan jika Tun Mahathir selalu sakit, tertekan dan kadang-kadang perlukan rehat serta rawatan.

Tambahan lagi, Najib juga adalah “raja duit”. Melawan orang berduit tidak sedikit cabarannya kerana berdepan dengan duit, bukan saja maruah, malah agama pun ada yang sanggup menjualnya.

Selagi tidak sampai ke titik akhir dan belum menggapai kemenangan, Tun Mahathir memang akan terus berjuang. Jadualnya pasti akan lebih padat lagi selepas ini.

Mungkin beberapa kali selepas ini beliau terpaksa berehat dan masuk IJN lagi atas nasihat doktor-doktor pakar yang menjaga kesihatannya.

Tetapi, setiap kali Tun Mahathir tidak sihat dan dinasihatkan berehat, ingat bahawa itulah nilai pengorbanan beliau yang seharusnya kita hargai.

Sambil mendoakan kesihatannya agar kembali pulih, ia wajar disertai dengan tekad yang jitu daripada kita semua untuk memenangkan Pakatan Harapan dalam PRU 14 akan datang.

Kesakitan Tun Mahathir pasti akan terubat jika akhirnya sang kleptokrat dapat disingkirkan, Pakatan Harapan dapat menjadi kerajaan dan melalui baki usia serta pengalaman yang sarat dalam dadanya, negara ini dapat dipulihkannya untuk kita semua menikmatinya.

Undi kemenangan daripada kita adalah ubat dan hadiah terbaik untuk semua kesakitan yang dialami oleh Tun Mahathir.

KLIK BACA: Lembu, rakyat Malaysia mangsa sebenar NFC, kata Rafizi

KLIK BACA: Rafizi kena penjara, tapak projek NFC naik belukar

KLIK BACA: Najib lebih parah berbanding Marcos, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: “Apakah Jho Low berjasa kepada negara berbanding Dr Mahathir yang dikutuk hina”

KLIK BACA: Bersangka baik Najib isu makam Rasulullah atau Najib kena berperangai BAIK?

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE