oleh Shahbudin Husin

Senarionya digambarkan BN bakal menang besar, manakala Pakatan Harapan akan kalah teruk dalam PRU 14 akan datang ini.

Tun Mahathir Mohamad yang sudah tua sebagai calon Perdana Menteri, parti-parti dalam Pakatan Harapan berbalah sesama sendiri dan tiada kesepakatan, hala tuju perjuangan tidak jelas, tiada jentera dan kekurangan wang serta kepimpinan Najib Razak yang dikatakan lebih istimewa dan diyakini dunia – ia adalah antara asas kepada keyakinan tersebut.

Di mana-mana itulah keyakinan orang UMNO sekarang ini dan jika ditambah dengan cara “mengada-ngada” Najib berucap di beberapa majlis perjumpaan dengan rakyat kebelakangan ini, memang tidak disangsikan lagi kemenangan besar itu sudah dalam genggaman mereka.

Tetapi, apakah kemenangan itu benar-benar bererti kepada Najib jika Pakatan Harapan tidak berani diluluskan pendaftarannya?

Dan tidakkah kemenangan BN itu nanti lebih memberi makna kepada Najib sekiranya ia dicapai setelah pendaftaran Pakatan Harapan diberikan kelulusan yang bermakna UMNO dan BN sedia berlawan secara adil dengan lawannya?

Untuk membuktikan Najib benar-benar berjiwa besar, berpegang kepada prinsip keadilan dan sokongan rakyat benar-benar berpihak kepadanya, beliau tiada pilihan lain selain harus dengan senang hati mengarahkan Zahid Hamidi selaku Menteri Dalam Negeri memberi kelulusan kepada pendaftaran Pakatan Harapan sebelum PRU 14 diadakan.

Jika tidak, beliau akan sentiasa terdedah kepada cemuhan berkaitan ketidakadilan dan perlekehan hanya berani berlawan dengan Tun Mahathir dalam keadaan Pakatan Harapan tidak disediakan “lantai yang benar-benar rata untuk sama-sama menari.”

Akan timbullah nanti kata-kata bahawa Najib hanya mampu menang dalam keadaan Pakatan Harapan tidak diberikan kelulusan dan gabungan pembangkang tidak dapat menggunakan satu logo untuk berhadapan dengan BN.

Tidakkah ia memalukan dah mencemar nama Najib akhirnya?

Lagi pula, apa lagi masalahnya untuk Najib terus menghalang kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan?

Bukankah isu berkaitan pemilihan DAP yang meragukan sudah selesai dan soal Bersatu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan tidak berbangkit lagi kerana ia sudah pun dilaksanakan pada penghujung 2017 yang lalu?

Soal cawangan dan bahagian Bersatu belum mengadakan mesyuarat dan tidak mengadakan pemilihan untuk menghantar wakil ke perhimpunan agungnya tidak seharusnya dijadikan isu kerana bahagian yang paling awal diluluskan oleh ROS iaitu Bersatu Pagoh ialah pada Julai 2017.

Ini bermakna, tempohnya belum sampai setahun, manakala kebanyakan cawangan dan bahagian yang lain masih dalam proses untuk diluluskan oleh ROS sendiri.

Dalam keadaan sedemikian, sudah tentu perwakilan yang hadir ke Perhimpunan Agung Bersatu pada 30 Disember 2017 yang lalu adalah hanya di kalangan pegawai-pegawai peringkat bahagian yang bertaraf penaja saja.

Pihak ROS tentunya lebih arif mengenai perkara itu dan tidak seharusnya melayan bantahan oleh mereka yang dikatakan dibayar oleh pihak-pihak yang dilihat sengaja membangkitkan perkara tersebut bagi tujuan menimbulkan persepsi kekeliruan.

Jika sebelum ini ROS dilaporkan ada memberitahu kelulusan Pakatan Harapan tidak boleh diberikan selagi masalah DAP dan Bersatu itu tidak diatasi, maka apa lagi isunya sekarang ini?

Malah, dengan memberi kelulusan kepada pendaftaran Pakatan Harapan, selain dapat membantu Najib membuktikan kepada dunia bahawa kemenangannya nanti adalah tulen, bermaruah, adil dan yang tidak boleh dipertikaikan, ia juga mampu memperlihatkan ROS bukanlah alat politik kepada UMNO dan BN.

Tak mahukah Najib menewaskan Tun Mahathir dengan cara begitu atau beliau lebih rela kemenangannya diejek, dicemuh dan dipertikai?

KLIK BACA: Bersangka baik Najib isu makam Rasulullah atau Najib kena berperangai BAIK?

KLIK BACA: Tanpa GST kita bina macam-macam, HAPUS boleh kurang beban rakyat – Tun Mahathir

KLIK BACA: Saya tak ambil sesen pun duit rakyat tetapi saya yang menanggung, kata Rafizi

KLIK BACA: 1MDB taja haji apa kata menteri agama, mufti dan ulama, soal Kadir Jasin

KLIK BACA: Najib tak patut ungkit masuk Kaabah, Makam Nabi – Mahathir pun tak sebut-sebut – Ana Ghoib

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share