Jakarta: Seorang guru sekolah menengah di Torjun, Madura, Jawa Timur, meninggal dunia beberapa jam selepas ditumbuk pelajarnya ketika pembelajaran seni di sekolah, kelmarin.

Menurut laporan media Indonesia, kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu berlaku selepas guru berkenaan, Budi Cahyono, menconteng pipi pelajar lelaki itu yang tidur dalam kelas dengan pewarna lukisan bagi mengejutkannya.

Pelajar itu yang dikatakan marah sebaik terjaga, menumbuk pipi guru terbabit, namun pertelingkahan mereka dileraikan pelajar lain.

Menurut Detik News, pertelingkahan itu dileraikan pelajar serta guru lain dan pengetua kemudian mengarahkan pelajar terbabit pulang.

Pengetua Sekolah SMA Negeri I Torjun Sampang, Amat, berkata, ketika guru berkenaan memberitahunya mengenai kejadian itu, Budi kelihatan sihat tanpa sebarang kecederaan.

Namun, keluarga guru berkenaan kemudian menghubungi pengetua menyatakan Budi dimasukkan ke Hospital Dr Seotomo di Surabaya, kerana tidak boleh tidur selepas mengadu sakit leher sebelum tidak sedarkan diri.

Difahamkan, pemeriksaan doktor mendapati guru berkenaan mengalami kecederaan dalaman pada lehernya menyebabkan otaknya tidak boleh berfungsi yang membawa kepada kematiannya kira-kira 7.40 malam.

Menurut laporan Antara, Ketua Polis Torjun, Budi Wardiman, berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu. – Agensi

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE