Dr Mahathir Mohamad menerima sokongan ramai rakyat Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri semula. – Foto Guardian UK

oleh Low Han Shaun, Looi Sue-Chern, Ikhwan Zulkaflee, Jason Santos

Meskipun ramai yang ragu-ragu dengan kepimpinannya sebelum ini, ramai rakyat Malaysia di enam negeri percaya bahawa Dr Mahathir Mohamad sudah berubah dan tidak akan mengulangi perangai autoritarian sepanjang 22 tahun memerintah, jika beliau menjadi perdana menteri sekali lagi.

Kini, apabila beliau menjadi pengerusi gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH), ramai berasakan rakan sekerjanya pada masa ini akan memastikan beliau mengikut garis panduan parti.

Dr Mahathir dan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi pilihan PH untuk menjadi calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengumuman itu mencetuskan pelbagai reaksi daripada Barisan Nasional (BN) dan juga beberapa bahagian dalam PH sendiri.

The Malaysian Insight menemu bual rakyat di seluruh negara dan di bawah ini sebahagian pendapat mereka tentang keputusan PH.

Lembah Klang

* Kamaruizam Mohd Kamal, 46, [gambar] berkata Dr Mahathir menyediakan kepimpinan yang membawa perubahan kepada negara pada zaman pemerintahannya.

“Pembangkang sekarang ada fokus jelas dan rakyat tahu apa yang mereka tawarkan jika kami undi mereka,” kata eksekutif di sebuah syarikat automotif itu.

“Beliau bawa perubahan hebat dalam sektor kejuruteraan dan menggalakkan rakyat belajar kejuruteraan dan menjadikan Malaysia negara perindustrian.”

* Penilai pasaran, Chan Hon Pin, 60, berpendapat Dr Mahathir kini seorang yang bertanggungjawab.

“Pada usia 92 tahun beliau masih ada kekuatan dan boleh betulkan apa yang salah dalam negara ini, walaupun jika beliau akan hanya memegang jawatan itu dalam tempoh sekejap, sehingga Anwar Ibrahim ambil alih,” katanya.

* Jean Vaneisha Ravindran, 23, berkata tidak mungkin Dr Mahathir dapat bertindak sebagai autoritarian lagi seperti dulu kerana beliau berjanji untuk tidak melebihi had perjanjian PH.

Katanya, Dr Mahathir adalah apa yang pembangkang perlukan untuk bersatu dan mereka juga akan memastikan beliau tidak tersasar.

Jean berkata beliau boleh dipersalahkan kerana Ops Lalang dan mencacatkan sistem kehakiman tetapi hakikatnya beliau kini berjanji untuk membetulkan semua kesilapan itu.

*Amirah Zaharin, 26, seorang perancang perkahwinan berkata beliau tidak kisah Dr Mahathir jadi perdana menteri lagi.

“Umurnya 92 tahun. Dulu beliau pernah kata tidak mahu lagi masuk politik, berapa lama lagi dia ada untuk perintah negara ini,” katanya.

“Saya tidak setuju yang beliau mahafiraun sekarang. Mungkin beliau masih tegas dalam membuat keputusan, tetapi ia perlu dibuat.

“Kalau dia jadi seperti dulu pun, berapa tahun lagi dia ada, dia bukan akan hidup selamanya.”

Pulau Pinang

* Ejen hartanah Wilson Moorthy, 50, berkata tidak ada orang lain lagi yang boleh memimpin pembangkang menentang BN pada PRU14.

Katanya, Dr Mahathir juga sudah mengakui salahnya dan meminta maaf atas kesilapan lalu.

“Tidak perlu melihat kepada kesilapan pentadbirannya yang lalu. Terlalu banyak isu dalam kerajaan sekarang dan jika rakyat nak mengubah, ini peluang terakhir, kita kena ambil,” katanya.

Wilson berkata tidak mengapa Dr Mahathir hanya perdana menteri sementara sehingga Anwar dibebaskan, dan menjadi perdana menteri.

* Penulis dan penterjemah Hajjar Nurhayyu Zainal, 31, berkata pembangkang mengambil risiko dengan mencalonkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Beliau berkata ada sebahagian perkara yang Dr Mahathir lakukan ketika menjadi perdana menteri dulu bukan hanya kesilapan yang boleh dimaafkan, semata-mata kerana beliau membuat permohonan terbuka.

Katanya, PH nampak seperti membenarkan pemimpinnya melakukan kesalahan, kerana mereka hanya perlu minta maaf beberapa tahun kemudian.

* Pelajar Jefry Musa, 24, berkata langkah itu tidak menunjukkan perjuangan untuk perubahan dan nilai baharu.

“Belia mengharapkan PH membawa nilai baharu. Saya tidak nampak bagaimana beliau boleh bawa perubahan,” katanya.

Jefry berkata tidak jelas apa agenda dan perubahan yang boleh dibawa oleh Dr Mahathir untuk membetulkan kesilapan dalam negara, dengan sesetengahnya bermula pada pentadbiran Dr Mahathir sendiri.

“Beliau minta maaf. Tetapi permohonan itu kerana kesilapan masa lalunya untuk memperbetulkan kesalahan atau hanya untuk undi?”

Johor Baru

* Fadzli Farid, 31, berkata usia Dr Mahathir mungkin jadi isu, tetapi berpasangan dengan Wan Azizah adalah pilihan lebih baik untuk pengundi.

“Kombinasi PH lebih menarik sokongan saya. Dr Mahathir ada idea dan Wan Azizah boleh melaksanakannya.”

* Usahawan, Mohd Noramin Md Ariffin dan Hafsham Mizan Mazlan berkata memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri adalah langkah terkebelakang kepada PH untuk memimpin negara ini dan pada masa sama menunjukkan mereka kurang calon berkelayakan.”

Mereka berkata pakatan pembangkang sepatutnya ambil peluang dengan menampilkan pemimpin lebih muda.

Kota Kinabalu

* Peguam Bryan Chua berkata secara umumnya rakyat Sabah ada isu kepercayaan dengan bekas perdana menteri itu.

Katanya, Dr Mahathir sudah pastinya melakukan kerosakan di Sabah, tetapi difahami pencalonannya itu dibuat demi kebaikan.

“Ia untuk menggulingkan kerajaan BN. Jika Anwar yang pernah dipenjarakan oleh Dr Mahathir boleh maafkan beliau, untuk mencapai kejayaan lebih besar, kenapa tidak saya?

Beliau juga percaya Dr Mahathir tidak akan mempunyai kuasa mutlak bila jadi perdana menteri dan PH membentuk kerajaan persekutuan.

* Juruteknik James Bahrin, 42, berkata beliau hilang kepercayaan kepada pemimpin dari semenanjung.

“Baik Najib (Razak), Anwar (Ibrahim) atau Dr Mahathir. Mereka semua sama saja. Sabah ada banyak sumber dan kerajaan persekutuan mencurinya.

“Jika mereka benar-benar ikhlas, pemimpin politik berkenaan sepatutnya pulangkan hak istimewa negeri ini sebelum hendak undi saya,” katanya.

Kuching

* Eksekutif perhubungan awam Kuan Thai Meng, 30, berkata pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri hanya menunjukkan PH tidak ada pemimpin berkelayakan.

“Lebih pun, saya percaya rekod lampau Dr Mahathir sebagai perdana menteri boleh menentangnya jika pengundi di Sarawak melihat kepada pendiriannya terhadap hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia.

“Tetapi kami di Sarawak terpaksa memilih antara dua orang jahat.”

* Penternak Richard John, 59, berkata Dr Mahathir hanya boleh jadi perdana menteri sementara.

“Beliau orang tua dan umur boleh jadi faktor, tetapi ada banyak pemimpin yang baik dalam PH. Saya rasa Dr Mahathir mahu sediakan anaknya Mukhriz untuk jadi penyandangnya.”

* Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak Baru Cobbold John berkata pemilihan Dr Mahathir untuk mengukuhkan “Ketuanan Melayu”.

“Saya tidak terlalu bimbang tentang Dr Mahathir ditolak atau adakah beliau boleh menang PRU. Saya lebih fokus tentang dilema selepas PRU yang perlu dihadapinya.

“Proses perundangan untuk membebaskan Anwar, kedudukan dalam kabinet dan pelantikan politik lain,” katanya.

Katanya, kabinet baru juga perlu berdepan dengan masalah tidak selesai seperti skandal 1MDB, GST dan harga siling petrol dan Perjanjian Malaysia 1963. – Sumber ihsan The Malaysian Insight

KLIK BACA: Kita beri Najib kuasa lebih banyak tanah dia jual, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Felda Hilang Tanah Disonglap Tidak Menghairankan – A Kadir Jasin

KLIK BACA: Dr Mahathir cadang PM Najib ‘jual negeri’ untuk bayar hutang

KLIK BACA: Dr Mahathir mahu kekal PM akan halang pengampunan Anwar, kata Puad Zarkashi

KLIK BACA: Tun Mahathir belum jadi PM Umno sudah kelam-kabut

KLIK VIDEO: Mazlan Aliman dedah habis skandal Felda depan peneroka

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share