Najib harus mesti berjiwa besar dengan lebih mengutamakan kepentingan UMNO dan negara berbanding dirinya sendiri. – Foto EPA

oleh Shahbudin Husin

Berikutan persetujuan Pakatan Harapan menamakan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu untuk tawarannya kepada rakyat menggantikan Najib Razak yang kleptokrat, saya cuba mendapatkan pandangan beberapa pemimpin lama yang pernah menjadi Ahli Parlimen dan menteri ketika era bekas Perdana Menteri itu berkuasa dahulu.

Bagaimanapun, oleh kerana sebahagian mereka tidak lagi memihak kepada mana-mana parti dan lebih menumpukan kepada hal-hal sendiri serta keluarga, mereka tidak sedia untuk disebut nama-nama mereka.

Rata-ratanya melihat pertarungan PRU 14 akan datang antara Najib dengan Tun Mahathir, antara BN dan Pakatan Harapan, adalah persaingan yang paling sengit dalam sejarah politik negara serta paling mungkin mencatatkan sejarah hilangnya kuasa UMNO.

Kata mereka, Tun Mahathir tidak mungkin sedia namanya dicalonkan sebagai Perdana Menteri semula jika beliau tidak melihat peluangnya untuk menang adalah cerah, sekaligus akan mencatat rekod sebagai pemimpin yang dipilih buat kali kedua untuk memerintah negara.

“Mustahil Tun Mahathir sanggup merosakkan namanya sebagai negarawan yang pernah berkuasa selama 22 tahun tahun sebelum ini kiranya peluang untuk beliau menumbangkan Najib adalah tipis,” ujar mereka.

Sehubungan itu, dalam konteks kepentingan negara dan UMNO, mereka melihat tiada manfaat lagi untuk Najib terus berlawan dengan Tun Mahathir dalam PRU 14 akan datang ini.

Najib, jelas mereka, harus sedar bahawa Tun Mahathir tidak pernah kurang daripada dua pertiga kemenangannya setiap kali pilihanraya sebelum ini, manakala Najib ketika pertama kali mengetuai PRU 2013 lalu, prestasnya lebih buruk berbanding keputusan pilihanraya 2008.

Untuk itu, pilihan terbaik bagi Najib, tambah mereka, ialah dengan segera mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri serta menyerahkan kepada UMNO dan BN menentukannya penggantinya kerana pengunduran itu dengan sendirinya menjadikan Tun Mahathir tiada isu lagi untuk meneruskan perjuangannya bersama Pakatan Harapan.

Dalam masa yang sama, kata pemimpin-pemimpin lama itu lagi, tidak kira siapa pun pemimpin baru yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara bagi menggantikan Najib, ia tiada kaitan lagi dengan keinginan Tun Mahathir mahu menumbangkan UMNO dan BN sebelum ini.

“Lebih dari itu, satu lagi kelebihan bagi pemimpin baru nanti ialah mereka juga tiada terkait sama sekali dengan 1MDB atau dasar pandang ke China yang yang menjadi antara isu kemarahan rakyat terhadap kerajaan sekarang ini.

“Kalau saya jadi Najib atau jika saya menjadi penasihatnya, sebaik Tun Mahathir dinamakan sebagai calon Perdana Menteri, pilihan terbaiknya ialah meletakkan jawatan kerana terus bertahan akan mengundang lebih kemungkinan yang buruk, tidak saja kepada dirinya, tetapi juga UMNO dan BN,” ujar mereka lagi.

Dengan yang demikian, melalui pengunduran Najib, tegas mereka dengan yakin, majoriti rakyat akan kembali menyokong UMNO dan BN kerana tiada sebab lagi mereka mahu bersama dengan perjuangan Tun Mahathir dan Pakatan Harapan.

Seterusnya, kata mereka, Najib harus mesti berjiwa besar dengan lebih mengutamakan kepentingan UMNO dan negara berbanding dirinya sendiri.

“Biar pun dengan pengunduran Najib itu, beliau dilihat mengalah kepada Tun Mahathir, tetapi akhirnya ia akan memberi kemenangan kepada UMNO dan BN.

“Apabila UMNO dan BN terus kekal berkuasa selepas PRU 14 akan datang, yang sebenar-benarnya dan muktamad tewas ialah Tun Mahathir dan Pakatan Harapan.

“Najib pula tidaklah kalah, cuma mengalah saja,” kata mereka lagi.

KLIK BACA: Dr Mahathir cadang PM Najib ‘jual negeri’ untuk bayar hutang

KLIK BACA: Dr Mahathir mahu kekal PM akan halang pengampunan Anwar, kata Puad Zarkashi

KLIK BACAAzmin Perdana Menteri jangan lebih-lebih 

KLIK BACA: Tun Mahathir belum jadi PM Umno sudah kelam-kabut

KLIK VIDEO: Mazlan Aliman dedah habis skandal Felda depan peneroka

KLIK VIDEO: Saya percaya Hadi sedang menangis kerana kesan AMANAT – Dr Hasan Ali

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share