Tanah milik Felda berpindah milik, Perdana Menteri mesti bertanggungjawab, kata Mahfuz.

oleh Mahfuz Omar

1. Pendedahan dalam laporan akhbar Berita Harian semalam (21 Disember 2017) bahawa *tiga lot tanah milik FELDA bernilai lebih RM 200 juta* yang mana ketika ini menempatkan kompleks ibu pejabat FELDA telah berpindah milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta adalah amat mengejutkan saya.

2. Laporan berita yang sama juga mendedahkan bahawa syarikat pemaju yang dilantik untuk membangunkan tanah tersebut telah *sewenang-wenangnya diberikan surat kuasa wakil secara penuh (full power of attorney)* hingga membolehkan mereka memindah milik tanah tersebut tanpa pengetahuan FELDA.

3. Lebih mengejutkan apabila Pengerusi FELDA Tan Seri Shahrir Samad sendiri mengakui bahawa transaksi pindah milik tanah-tanah tersebut tidak mendapat kelulusan FELDA dan kerajaan, selain dari *tiada sebarang pampasan pun yang dibayar kepada FELDA* selaku pemilik asal bagi urusan pertukaran hak milik tersebut.

4. Pendedahan terbaru ini sesungguhnya *membuktikan kebenaran tentang kebimbangan pelbagai pihak termasuk parti-parti politik bahawa FELDA serta anak-anak syarikatnya seperti Felda Global Ventures (FGV), FIC dan sebagainya berdepan dengan pelbagai masalah urustadbir yang teruk* bahkan terdapat kemungkinan berlakunya penyelewengan dan salahguna kuasa di sebalik segala transaksi-transaksi ini.

5. *Saya tidak peduli apa agenda Berita Harian yang diketahui dikuasai pemerintah melalui Media Prima* secara tiba-tiba melaporkan skandal ini dimana berkebetulan pada saat yang sama akhbat New Straits Times (yang juga dimiliki Media Prima) membuka kembali kes kem penyeludupan manusia di Wang Kelian yang dipercayai dilindungi pihak berkuasa.

*Berkemungkinan menjelang pilihanraya umum, maka individu-individu yang dilihat menjadi ‘liabiliti’ Barisan Nasional perlu disingkirkan atau ‘dikambinghitamkan’ bagi menunjukkan kononnya kerajaan BN adalah sebuah kerajaan yang bersih dan telus*.

6. Perlu diingat bahawa meskipun FELDA dan FIC mempunyai ‘governans’ dan lembaga pengarahnya yang tersediri, namun *segala urusan berkaitan hal ehwal FELDA adalah berada di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa mutlak Perdana Menteri*.

Perdana Menteri sendirilah yang berkeras melantik Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi FELDA pada tahun 2011 hingga penghujung 2016 meskipun mendapat bantahan dari para peneroka, kakitangan FELDA, NGO dan parti-parti politik.

7. Saya ingin menegaskan bahawa *Perdana Menteri dan kabinet tidak boeh berlepas diri untuk ‘mencuci tangan’ dari apa jua tindak tanduk Isa Samad* termasuk juga dalam hal keputusan-keputusan dan transaksi yang dibuat oleh FELDA, FGV atau FIC semasa beliau menjadi pengerusinya.

*Suatu yang sangat mustahil apabila keputusan sebegini besar yang akan membabitkan perobohan ibu pejabat FELDA di tapak asal yang dikenali sebagai Wisma FELDA, diikuti pula projek pembangunan semula tapak tersebut dengan usahasama (joint venture) bersama pemaju swasta serta pindahmilik tanah kepada pemaju tersebut tidak diketahui oleh Perdana Menteri dan kabinet*.

8. Bahkan untuk memperkukuh cengkaman dan pengawasan Perdana Menteri ke atas FELDA, Perdana Menteri telah melantik seorang Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) khusus untuk menjaga hal ehwal FELDA bagi pihak Perdana Menteri iaitu Dato Razali Ibrahim.

Perdana Menteri juga dilihat menubuhkan dua unit khusus di bawah JPM berkaitan dengan FELDA iaitu Unit Kawal Selia FELDA dan juga Unit Seranta FELDA.

Dengan sebegitu banyak bentuk pengawasan dan kepungan khusus dari Perdana Menteri ke atas FELDA, *tidak munasabah sama sekali keputusan-keputusan penting berkaitan aset strategik milik FELDA ini tidak mendapat perkenan atau dilaporkan kepada Perdana Menteri dan kerajaan*. Adalah tidak adil sama sekali jika hanya Isa Samad dan pengurusan syarikat FELDA sahaja yang dipersalahkan.

9. Episod ini mengingatkan saya isu-isu yang menimpa FELDA akibat dari cadangan menyenaraikan FGV di Bursa Malaysia pada sekitar tahun 2011-2012 di mana *Isa Samad dengan rakus menjalankan kehendak Perdana Menteri untuk memaksakan keputusan penyenaraian dilaksanakan*.

Kemudiannya berlaku cubaan Isa Samad untuk menguasai Koperasi Permodalan FELDA (KPF) hingga kes di bawa ke mahkamah. Begitu juga dengan peristiwa hampir 15 orang pegawai kanan FELDA termasuk Pengarah Besar FELDA dan timbalannya yang ‘dipetisejukkan’ kerana kritikal terhadap cadangan penyenaraian FGV.

*Kesemua tindak-tanduk Isa Samad ini semestinya berada dalam pengetahuan Perdana Menteri*.

10. Justeru, selain menuntut supaya FELDA dan kerajaan agar bertindak segera untuk mendapatkan kembali aset strategik milik FELDA tersebut, *saya juga menuntut pertanggungjawaban penuh Perdana Menteri selaku Menteri yang menjaga hal ehwal FELDA di atas segala masalah yang menimpa FELDA terutama semasa ianya dipengerusikan oleh Isa Samad.

11. Andai kerajaan ikhlas untuk menyelesaikan masalah FELDA dan bukan semata-mata untuk meletakkan segala beban ke atas Isa Samad, suatu Suruhanjaya bebas perlu ditubuhkan untuk menyiasat segala kepincangan dan salahlaku yang berlaku di dalam FELDA dan anak-anak syarikatnya termasuk FGV dan FIC*.

Disamping penyiasatan Polis dan SPRM untuk mengheret pengkhianat maruah peneroka dan warga FELDA kemuka pengadilan, hanya dengan cara tersebut, permasalahan FELDA dapat dirungkaikan dan setersunya mengembalikan FELDA ke landasan asal penubuhannya.

*DATO’ HJ MAHFUZ HJ OMAR, Ahli Parlimen Pokok Sena. Sumber Mahfuz Omar Facebook

KLIK BACA: Namakan calon PM lebih awal bercanggah sunnah Rasulullah – Hadi Awang

KLIK BACA: 1MDB bayar hutang, lenyaplah sudah wang yang dibayar kepada syarikat Aabar palsu sebelum ini

KLIK BACA: Demo Baitulmaqdis Umno-PAS – Mahathir desak Najib tarik ungkapan kepada Trump ‘musuh Amerika musuh Malaysia’

KLIK BACA: Hanipa Maidin persoal dan jelaskan kenapa 1MDB setuju bayar tuntutan IPIC

KLIK BACA: Jangan bangga sangat menara Exchange 106 milik Indonesia berbanding KLCC

KLIK BACA: Rakyat wajib tolak Mahathir, beri PAS tadbir negara selepas PRU14, kata Ahmad Fadhli {PAS}

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share