oleh The Malaysian Insight | 2 November, 2017

Satu lagi klip video muncul malam tadi, menambah tuduhan terhadap ketua badan pencegahan rasuah Malaysia Dzulkifli Ahmad kepada salah guna wang kerajaan dan memberi amaran kepada Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa supaya jangan melindungi skandal itu.

Klip berdurasi 57 saat itu disiarkan di YouTube menerusi akaun Jejak Dua Belas dan menunjukkan gambar bilik hotel daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan katil berkecah, mengancam untuk mendedahkan keseluruhan klip jika siasatan menyeluruh tidak dilakukan berhubung skandal seks membabitkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dengan isteri orang.

Ini video ketiga terhadap Dzulkifli walaupun klip video terdahulu yang dimuat naik ke YouTube diturunkan selepas dua minggu.

Klip video terbaru itu bermula dengan persoalan apakah ia bukan korupsi bila Dzulkifli ke Hong Kong atas urusan rasmi dengan menggunakan tiket kapal terbang yang dibayar oleh kerajaan tetapi tidak hadir ke program yang sepatutnya.

Hong Kong menganjurkan Forum Anti Rasuah Asia (ALB) 2017 pada 23 Mac lalu – satu acara tahunan yang dihadiri pegawai kerajaan dan peguam di rantau ini.

Tidak diketahui serta-merta sama ada Dzulkifli hadir program itu walaupun klip video itu menyatakan kerajaan menghantarnya ke sana.

Ia kemudian menunjukkan sebuah bilik hotel dengan katil tidak berkemas, dengan kapsyen “Perlukah video ini didedahkan baru siasatan telus mahu diambil?”.

Video itu berakhir dengan amaran kepada Ali, supaya jangan melindungi Dzulkifli hanya untuk menyelamatkan dirinya sendiri, isu yang turut disebut pada klip video sebelum ini yang dimuat naik pada 18 Oktober.

Video sebelum ini menunjukkan seorang lelaki kelihatan seperti Dzulkifli dan seorang wanita sudah berkahwin berpegangan tangan dan masuk ke sebuah restoran di Bali pada Julai lalu.

Video sepanjang seminit 40 saat itu dimuat naik di YouTube dengan link kepada blog mengandungi tuduhan terhadap pemimpin Umno melindungi hubungan sulit ketua pesuruhjaya SPRM itu.

Dalam video itu, seorang lelaki kelihatan seperti Dzulkifli berpegang tangan dengan seorang wanita ketika keluar dari sebuah hotel di Bali. Video itu kemudian diulang secara perlahan. Satu lagi klip video menunjukkan pasangan itu berada dalam sebuah restoran.

Selebihnya video itu menunjukkan bilik di mana Dzulkifli didakwa bermalam ketika berada di Bali pada Julai lalu dan sebuah klip memaparkan pembantunya membawa keluar beg pakaian.

Klip video sebelum ini juga ada menunjukkan tiket pesawat, dokumen pendaftaran hotel dan gambar lain pasangan itu di Bali dengan bagasi dibawa keluar dari hotel.

Dzulkifli akhirnya menjawab khabar angin mengenai hubungan sulitnya itu bulan lalu, mendakwa ia “taktik kotor” oleh pihak yang tidak dinamakan.

Pengkritik pro kerajaan dan akhbar menuduh pembangkang dan sindiket perjudian menjadi dalang video itu dalam usaha menyingkirkan Dzulkifli dari SPRM.

Tetapi Dzulkifli tidak secara langsung mengesah atau menafikan tuduhan hubungan sulit dengan wanita itu yang dikatakan seorang pengurus undang-undang di sebuah syarikat berkaitan kerajaan. Wanita itu bercerai dengan suaminya bulan lalu dan menafikan hubungan sulit berkenaan.

Salah satu daripada klip video itu menuduh seorang pemimpin Umno menutup skandal itu dalam usaha melindungi kes rasuahnya sendiri.

Satu kiriman video itu turut mengandungi tuduhan bahawa pemimpin Umno bersama ketua SPRM bergabung dalam kes menentang Presiden Parti Warisan Sabah Shafie Apdal, mendakwa beberapa individu yang ditangkap baru-baru ini ditahan di bilik hotel dipaksa mengaku melakukan rasuah.

Satu lagi video mendakwa seorang lagi pemimpin Umno memberi rasuah RM10 juta untuk menjatuhkan Shafie.

Blog yang dikaitkan dengan video itu sudah pun diturunkan dari laman web blog milik Google, blogspot.com.

Polis memulakan siasatan terhadap video itu bulan lalu selepas satu laporan polis mengenai klip pertama dibuat oleh seorang eksekutif jualan pada awal Oktober.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang merujuk kepada kesalahan menggoda wanita yang sudah berkahwin dengan niat untuk mengadakan hubungan haram.

Jika didapati bersalah, seseorang boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pejabat Peguam Negara juga menubuhkan pasukan petugas khas berhubung perkara itu kerana Dzulkifli dipinjamkan dari pejabat itu untuk mengetuai SPRM pada Ogos 2016. – Sumber The Malaysain Insight

KLIK BACA: Sultan Selangor murka dengan Tun Mahathir isu bugis tapi…

KLIK BACA: Apa kewajaran pasukan UTK pengawal Tun Mahathir ditarik selepas pengiring bermotosikal dan tukang masak?

KLIK BACA: Tun Mahathir di parlimen berikrar tangkap MO1 100 HARAPAN memerintah!

KLIK BACAAnnuar betul Tun Mahathir mahu jatuhkan Najib kerana kuasa…

KLIK BACA: Tulisan penuh Tun Mahathir gesa Hadi Awang taubat

[signoff predefined=”Disclaimers”][/signoff]

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE