Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyentuh empat perkara utama negara meliputi aspek perpaduan rakyat, pendidikan, ekonomi dan moral. – Foto NST 29 Ogos, 2017.

MAJLIS pelancaran buku tentang Tun Abdul Razak sepatutnya jadi acara mengenang 40 tahun pemergian beliau, sebaliknya ia jadi tempat bercermin diri melihat sejauh mana Malaysia sudah berubah daripada cita-cita dan nilai budi yang ditinggalkan oleh perdana menteri kedua itu.

Dan sekiranya Tun Abdul Razak masih hidup, perdana menteri Malaysia kedua itu pasti akan “kecewa dan ralat” melihat keadaan yang sedang berlaku dalam negara sekarang, titah Sultan Nazrin Shah.

Baginda menyenaraikan empat perkara yang akan mengecewakan Tun Abdul Razak, menyentuh soal perpaduan rakyat, pendidikan, ekonomi dan moral.

“Tun Abdul Razak, andai kata masih bernafas, pastinya pada hari ini akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara,” titah baginda pada majlis pelancaran buku Fulfilling a Legacy: Tun Razak Foundation di sebuah hotel di Kuala Lumpur, pada 29 Ogos, 2017.

Teks penuh titah Sultan Nazrin.

Merujuk kepada wawasan Tun Abdul Razak bahawa masa depan negara ini bergantung pada satu perkara iaitu perpaduan rakyat berbilang kaum, Sultan Nazrin bertitah ia sedang dirosakkan oleh oleh pemimpin politik.

“Sedangkan dalam keghairahan mahu mendapat sokongan, parti-parti politik pada masa ini, semakin cenderung memilih untuk menyalakan bara-bara sensasi isu agama dan isu kaum,” titah baginda.

Tun Abdul Razak juga, titah baginda, pasti kecewa dan ralat melihat bagaimana Dasar Pelajaran Kebangsaan gagal menjadikan sekolah sebagai “taman asuhan menyatupadukan warga”.

“Generasi muda daripada pelbagai kaum pada hari ini, yang melalui pelbagai aliran persekolahan, tidak akan mempunyai peluang untuk berinteraksi dan saling mengenali antara satu sama lain, di sebaliknya mereka membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing.

Ketiga, Tun Abdul Razak akan kecewa melihat penyelewengan pembahagian kekayaan sehingga berlakunya ketirisan besar-besaran pegangan ekonomi bumiputera yang menyebabkan kaum bukan bumiputera menyifatkan Dasar Ekonomi Baru diskriminatif, malah mencetuskan kemarahan dalam kalangan bumiputera sendiri.

Dan yang keempat, titah baginda, Tun Abdul Razak akan kecewa dan ralat melihatkan amalan rasuah dan tahap integriti di Malaysia pada hari ini.

“Akan luluhlah hati Tun Abdul Razak, mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana perbuatan rasuah yang berlaku secara besar-besaran, melibatkan penjawat tinggi dan individu terpelajar, dengan amaun yang banyak, yang amat mencalar nama baik negara bangsa,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut mengimbau lima legasi tersurat tinggalan perdana menteri kedua itu serta menyebut dua legasi Allahyarham yang tersirat.

“Tun Abdul Razak berada di kerusi perdana menteri selama 1,941 hari; satu tempoh masa yang tidak lama, namun telah meninggalkan kesan berkekalan dalam minda warga, dan kekal terpahat dalam sejarah negara,” titah baginda.

Lima legasi itu termasuk mengembalikan demokrasi selepas tragedi berdarah 13 Mei, menstruktur ekonomi dan sosial melalui pendekatan “membandarkan kawasan desa” dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan melalui penubuhan sekolah berasrama, maktab, kolej dan universiti.

Dua legasi Tun Abdul Razak yang tersirat, “yang mencerminkan nilai-nilai keinsanan dan roh Islam yang amat wajib diselami dan dihayati” pula ialah tidak tamak kepada kuasa serta amanah dan jujur, melalui pentadbiran yang telus dan berintegriti.

Titah Sultan Nazrin, sifat-sifat amanah, jujur dan telus itu mencerminkan sifat seseorang yang tinggi imannya serta menyedari tanggungjawab di sisi Allah.

“Semoga wawasan dan nilai-nilai murni Tun Abdul Razak dikunjungi semula, dihayati, dihidupkan dan disemarakkan dalam minda dan jiwa setiap warga Malaysia,” titah baginda.

Tun Abdul Razak jadi perdana menteri pada 22 September 1970, lebih kurang 10 bulan selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969. Allahyarhan meninggal dunia di London pada 14 Januari 1976 akibat leukemia. Umurnya ketika itu 53 tahun.

KLIK BACA: Tun Mahathir di parlimen berikrar tangkap MO1 100 HARAPAN memerintah!

KLIK BACA: Tulisan penuh Tun Mahathir gesa Hadi Awang taubat

KLIK BACA: Tiada pemimpin UMNO berani cadang Jho Low dibawa balik?

KLIK BACA: Menang PRU14 tahulah Tun Mahathir dan Pakatan Harapan cari Jho Low

KLIK BACA: Jho Low kebal disebabkan pembelaan daripada Umno, kata Mukhriz

KLIK BACA: Mahathir jadi Perdana Menteri dan Allah panjangkan umur untuk menjelaskan ini?

KLIK BACA: Umno mesti dikalahkan baru insaf rasa kepahitan rakyat di bawah, kata Shafie beberapa hari sebelum ditahan SPRM

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE