Kit Siang diguna untuk menakut pengundi Melayu, UMNO secara tidak langsung mengakui kuatnya pengaruh Tun Mahathir dan menunjukkan Najib hampir kecundang dalam pilihanraya akan datang. – Foto FMT

oleh Shahbudin Husin

Dakwaan bahawa DAP akan menguasai negara atau Lim Kit Siang bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan menang pilihanraya, sebenarnya bukanlah isu yang logik untuk diterima akal yang waras oleh sesiapa.

Sudah dijelaskan banyak kali, terutamanya tentang jumlah kerusi yang ditandingi DAP, asas politik Malaysia ialah Melayu, tidak mungkin Tun Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan dapat dikuasai oleh Kit Siang dan lebih penting daripada itu, Kit Siang sendiri sudah menegaskan tidak berhasrat mahu menjadi Perdana Menteri, tetapi beberapa pemimpin UMNO masih lagi mengalunkan lagu yang sama.

Sekurang-kurangnya tidak orang yang kerap mendendangkan tentang DAP dan Kit Siang iaitu Annuar Musa, Salleh Said Keruak dan Abdul Rahman Rahman.

Tindakan mereka terus menakut-nakutkan rakyat, khususnya orang Melayu mengenai DAP dan Kit Siang tidak lain menunjukkan kegagalan untuk memasarkan Najib Razak sebagai produk yang benar-benar berguna, baik dan bermanfaat.

Terbukti sekarang ini Najib tidak boleh dipasarkan lagi sehingga untuk menjualnya terpaksa disertakan dengan ketakutan yang berupa khayalan semata-mata.

Lebih dari itu, keadaan ini juga memperlihatkan UMNO dan BN sudah ketandusan idea untuk memenangi pilihanraya akan datang sehingga perkara yang tidak logik pun dinyanyikan dengan tujuan menakut-nakutkan rakyat.

DAP secara secara umumnya hanya bertanding 50 kerusi Parlimen saja dan kawasannya pula ialah di bandar-bandar dan kawasan majoriti pengundi Cina. Lawan mereka bukan UMNO, tetapi parti komponen lain seperti MCA, MIC atau Gerakan.

Sejak dua pilihanraya lalu, DAP banyak menang di kawasan tersebut kerana pengundi menolak MCA, MIC dan Gerakan. Memang majoriti wakil rakyat DAP ialah kaum Cina, tetapi jika DAP kalah dan MCA, MIC atau Gerakan menang di kawasan-kawasan tersebut, wakil rakyat yang menang juga bukanlah Melayu.

Untuk menentukan DAP tidak menang dan tidak lagi ditakuti, cara sebaiknya bagi UMNO dan BN ialah memastikan MCA, MIC dan Gerakan bertambah kuat dan diterima pengundi. DAP menang hanyalah kerana pengundi bukan Melayu lebih mempercayai parti itu berbanding MCA, MIC dan Gerakan.

Hakikatnya, di 50 kawasan yang ditandingi DAP itu dan lawan mereka ialah MCA, MIC dan Gerakan, siapa pun yang menang, wakil rakyatnya tetap bukan Melayu.

Lalu kenapa takut dengan DAP, kaum Cina dan Kit Siang?

Bukankah MCA, MIC dan Gerakan lebih wajar ditakuti kerana dalam keadaan kurang kerusi pun, mereka gagah mengugut UMNO dan BN untuk menolak Akta 355 untuk dijadikan usul kerajaan, bolehkah dibayangkan jika kerusi mereka lebih banyak?

Lagi pula, daripada 112 kerusi Parlimen minimun yang diperlukan untuk membentuk kerajaan, jika pun DAP menang 40 kerusi misalnya dan selebihnya dimenangi oleh PKR, Bersatu dan Amanah, bukankah majoriti masih dikuasai oleh Ahli Parlimen Melayu daripada ketiga-tiga parti tersebut?

Bolehkah dengan 40 kerusi itu, Kit Siang menuntut kerusi Perdana Menteri?

Selain itu, kenapa perlu ditakut-takutkan pengundi Melayu dengan Kit Siang?

Berbanding Perdana Menteri yang selama ini diketahui dibelakangnya ada Jho Low dan telah melakukan pelbagai perkara yang menyusahkan rakyat dan membebankan negara, adakah Kit Siang lebih patut ditakuti daripada memberi Najib menang untuk sepenggal lagi?

Yang paling nyata, dengan terus memainkan isu mengenai Kit Siang untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu, UMNO secara tidak langsung mengakui tentang kuatnya pengaruh Tun Mahathir dan menunjukkan Najib sudah hampir kecundang dalam pilihanraya akan datang.

Sudah pelbagai usaha dilakukan untuk melemahkan Tun Mahathir, termasuk menyerang anak-anaknya dan cuba mencari kesalahan silamnya seperti menubuhkan RCI forex, mengungkit tentang Memali dan sebagainya, namun semunya nampak tidak menjadi.

Semua kerugian dalam pelbagai urusan melibatkan negara ketika era Tun Mahathir adalah amalan biasa dalam perniagaan – ada masa untung, ada masa rugi – tetapi jika dihimpunnya semuanya sekali pun, ia tetap tidak mampu menandingi skandal 1MDB yang mana ia menjadi sebutan seluruh dunia dan memalukan kita sebagai rakyat Malaysia.

Ketakutan kepada DAP dan Kit Siang tidak lebih umpama fatamorgana semata-mata, sebaliknya bahayanya Najib adalah sesuatu yang nyata dan sudah pun dirasai oleh kita semua. – ShahbudinHusin

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili MalaysiaStyloNews.

KLIK BACANajib dan Zahid diarah mahakamah fail pembelaan saman berkaitan derma RM2.6 bilion

KLIK BACA: Kerajaan Umno tidak bersedia berterus terang dengan rakyat bahawa ekonomi negara sedang mengalami masalah sistemik. – Datuk Kadir Jasin

KLIK BACA: Orang Jerman terima sejuta pelarian Islam tapi mereka minum arak – Dr Mahathir

KLIK VIDEO: Kantoi MB Selangor Azmin arah berhenti roboh rumah bekas AJK Masjid tapi pegawai berkeras?

KLIK BACA: “Mahathir beri Kit Siang RM1 Bilion, ampu Najib sanggup perbodohkan diri sendiri” – Aziz Yassin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE