Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di majlis pelancaran autobiografinya ‘My Name is Hasmah’ versi Bahasa Malaysia, ‘Nama Saya Hasmah’. – Foto Malaysiakini

oleh Yasmin Ramlan | 6 Oktober, 2017

SEBAGAI seorang wanita yang pernah menjadi isteri kepada seorang perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali berkata, beliau perlu bijak menjaga nama baik supaya tidak mencemarkan reputasi suaminya.

Ini memandangkan, apa jua yang dilakukan akan mencerminkan suaminya.

“Anda perlu menjaga imej dan reputasi anda supaya (apa yang dilakukan) tidak memburukkannya. Apa yang anda lakukan mencerminkan suami anda. Ini yang isteri perlu beringat-ingat,” katanya dalam satu temubual dengan The Malaysian Insight.

Berkahwin dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sejak 1956 dan merupakan doktor perubatan terlatih, beliau membicarakan pengalamannya dalam kehidupan umum dan menekankan kepentingan mempunyai hubungan baik dengan semua pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, beliau menegaskan perlunya bagi seorang isteri sepertinya untuk sentiasa memberikan sokongan kepada suami dalam apa jua keadaan.

Digelar “Bapa Pemodenan Malaysia“, Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri sejak 1981 dan mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut pada 2002 sebelum bersara secara rasmi pada 2003.

“Perkara paling penting sekali adalah sentiasa bersama dia untuk memastikan kepada orang ramai yang dia ada isteri, ada yang menjaga dan menyokongnya.

“Dengan ini, ia memberi rasa yakin terhadap dirinya. Apabila dia rasa sedih, ada isteri yang menyenangkan hatinya. Itu peranan isteri, menyenangkan hatinya semasa senang dan susah,” katanya.

Menurutnya lagi, tidak wujud istilah bersaing sesama sendiri dalam hubungan suami isteri walaupun dalam sesetengah majlis beliau dijemput untuk memberikan ucapan dan adakalanya perlu memainkan peranan sebagai pemimpin.

“Perlu buat juga sebab ini secara tak langsung melonjakkan imej suami.

“Tapi hati-hati. Jangan sampai melangkaui batas atau peranan anda (sebagai isteri perdana menteri). Jangan ada persaingan,” katanya.

Suami kembali aktif dalam politik

Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Bersatu kini aktif dalam siri jelajahnya dengan memberi ceramah dari satu negeri ke negeri lain di Malaysia, sebagai salah satu usahanya “membuka mata” rakyat terutamanya di kawasan luar bandar mengenai isu semasa dan skandal syarikat beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, beliau tidak menyangka setelah suaminya bersara, Dr Mahathir akan kembali aktif berpolitik. Tetapi akur demi menyelamatkan Malaysia yang kini berdepan dengan pelbagai masalah.

“Bila dia bersara, saya ingatkan dia berehat. Saya dapatkan dia semula dalam keluarga sebagai suami saya dan bapa kepada anak-anak kami. Tapi sebenarnya dia tidak bersara sepenuhnya,” kata Siti Hasmah.

Siti Hasmah dilihat sentiasa di sisi dalam setiap ceramah suaminya berkata, salah satu sebab beliau berbuat demikian kerana untuk menjaga keperluan suami seperti jika Dr Mahathir batuk, perlulah disediakan air kosong untuknya.

Di samping itu, beliau akan memberikan komen selepas penyampaian ceramah suaminya.

“Saya tak adalah dengar (apa yang Dr Mahathir ucap) sepanjang masa. Kadang-kadang bosan jugakan? Sebab cerita yang sama tapi takkan saya nak beritahu. Saya tak nak patahkan semangatnya.

“Jadi saya ikutlah dia. Bagi komen sikit lepas tu (lepas ceramah),” katanya.

Beliau bagaimanapun akan cuba meyakinkan pihak penganjur supaya tidak meletakkan suaminya sebagai penceramah terakhir kerana bimbang suaminya berjaga sehingga lewat malam dan akan pulang ke rumah sangat lewat, terutamanya pada usia 92 tahun.

“Mereka (penganjur) akan letakkan suami saya sebagai penceramah terakhir sebab tak nak orang ramai balik cepat. Jadi mereka gunakan suami sayalah,” katanya.

Jasa Tun Razak

Walaupun dalam setiap ucapan Dr Mahathir tidak putus melancarkan serangan bertubi-tubinya terhadap Perdana Menteri Najib Razak, Siti Hasmah sangat bersyukur dengan apa yang dilakukan bapa pemimpin itu terhadap negara.

Digelar sebagai “Bapa Pembangunan”, Tun Razak menyumbang terlalu banyak terhadap negara, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan mencetuskan idea penubuhan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang bertujuan untuk meningkatkan penggunaan tanah dengan lebih cekap dan berkesan.

“Kami bersyukur dengan apa yang dia lakukan untuk negara kita. Dia telah memberi peluang kepada negara terutamanya pada penduduk luar bandar,” katanya.

Siti Hasmah bertemu Dr Mahathir ketika kedua-duanya pelajar perubatan di Kolej Perubatan King Edward VII di Singapura. Mereka berkahwin pada tahun 1956 dan beliau, seorang gadis “bandar” dari Klang, berpindah ke Kedah bersama suami.

Beliau menjadi salah seorang wanita Melayu pertama pada zamannya yang belajar bidang perubatan, dan ketika itu antara doktor wanita Melayu pertama dan pegawai perubatan wanita pertama di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak. – Read more TMI

Laporan Malaysiakini: ‘Mulanya saya sangka Mahathir terlalu keras terhadap Najib…’ – 22 Julai, 2016

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada mulanya menyangka suaminya terlalu keras terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas beliau mengangkat sumpah sebagai pemimpin nombor satu negara pada tahun 2009.

Dalam autobiografinya ‘My Name is Hasmah’, Siti Hasmah menceritakan bagaimana tanda-tanda perselisihan di antara Mahathir dan Najib muncul seawal selepas beliau menjadi perdana menteri.

Satu pertemuan makan malam kemudian diatur di Seri Perdana untuk menyelesaikan perkara itu.

Tetapi apabila Najib muncul semula tidak lama lagi selepas pertemuan itu, Hasmah tahu ia bukanlah satu petanda yang baik.

Najib, katanya, telah mengesahkan ini, memaklumkan kepadanya bahawa Mahathir mahu beredar segera.

Ditanya apa yang telah berlaku antara kedua mereka selepas pulang ke rumah, Mahathir berkata beliau telah memberitahu Najib bahawa dia teruk dalam menjalankan tugasnya sebagai perdana menteri.

“Saya agak terkejut. Najib baru sahaja mengambil alih jawatan dan saya juga prihatin dengan bagaimana dia dilihat menguruskan negara ini,” katanya sambil menambah beliau juga merasakan Mahathir terlalu keras terhadap Najib.

“Dia masih agak baru dalam menjalankan tugas tersebut,” kata Hasmah, sambil menegaskan bagaimana Mahathir sendiri berdepan dengan permulaan yang sukar sebagai timbalan perdana menteri.

Kesedihan dan kebingungan

Tetapi selepas malam itu, perkembangan lain telah berlaku dan Najib, katanya, tidak lagi baru untuk tugas itu.

Katanya, Mahathir kritikal mengenai pengendalian Najib terhadap isu-isu negara dan kesan pada kedaulatan dan kemerdekaan kita, dan untuk tidak berkata apa-apa tentang kontroversi yang lebih terkini menyelubungi Najib sendiri.

Secara peribadi, katanya, beliau merasakan kesedihan dan kebingungan tentang apa yang berlaku kepada Najib yang pernah dikenalinya.

Namun begitu, beliau tetap berharap satu hari nanti negara akan kembali di landasan yang betul, tulis Siti Hasmah dalam bukunya itu.

Lebih setahun berlalu sejak Mahathir secara terbuka mengkritik Najib, terutamanya yang berkaitan dengan cara beliau mengendalikan firma pelaburan negara, 1MDB.

Sejak itu, Mahathir telah keluar Umno dan malah menerajui gerakan Selamatkan Malaysia yang menggesa peletakan jawatan Najib. Minggu lepas, Mahathir mengumumkan sebuah parti politik baru akan ditubuhkan.

Autobiografi Siti Hasmah, yang dilancarkan sempena sambutan ulang tahun ke-90 beliau, adalah koleksi cerita perjalanan hidupnya, kerjaya dalam bidang perubatan dan pengalaman hidup bersama suaminya.

KLIK BACA: Bertambah pening bila Shahbudin ulas isu takut isteri atau suami

KLIK BACA: Benarkah NAJIB masa depan penjawat awam gelap jika Pakatan Harapan perintah? – Tan Sri Zainuddin

KLIK BACAUmno tidak dipimpin ‘penyangak’ semasa tuntut kemerdekaan, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Adakah setia PAS kepada pemimpin mengatasi setia kepada Allah, Rasul dan Al-Quran? – Tun Mahathir

KLIK BACA: Kenali Dzulkifli SPRM dan orang-orangnya yang serbu pejabat hingga ke rumah

KLIK BACA: Dr Mahathir mengaku kenal individu tawar RM5 juta kepada Syed Saddiq

KLIK BACA: “Mahathir beri Kit Siang RM1 Bilion, ampu Najib sanggup perbodohkan diri sendiri” – Aziz Yassin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE