Pertemuan Najib bersama Trump di White House diulas penganalisis politik Shahbudin Husin berbeda dengan sikap Tun Mahathir terhadap AS yang tegas menjadi suara negara berkecuali. – Foto FMT

oleh Shahbudin Husin | 12 Sept, 2017

Najib Razak ketika ini sudah pun berada di Amerika Syarikat untuk memenuhi jemputan Rumah Putih bagi bertemu Donald Trump.

Beliau dijangka akan mengadakan pertemuan dengan Presiden AS itu pada esok, 12 September.

Kunjungan Najib ke Amerika berlaku di ketika hubungan Malaysia dengan negara itu berubah menjadi “suam-suam kuku” berikutan saman sivil DOJ untuk merampas pelbagai aset berkaitan dana 1MDB yang diselewengkan yang kini sudah pun melebar kepada siasatan jenayah.

Seketika ini, DOJ memutuskan untuk menangguhkan buat sementara, bukan menghentikan, diulang sekali lagi, bukan menghentikan, saman sivilnya bagi memberi laluan kepada siasatan jenayah dijalankan terlebih dahulu.

DOJ berpendapat, jika saman sivil itu diteruskan ia akan memberi kesan terhadap kemampuannya dalam menjalankan siasatan jenayah yang dianggap perlu didahulukan.

Meskipun Najib sebelum ini mempunyai hubungan akrab dengan Amerika dan kerap mengunjungi negara tersebut di era awal pemerintahannya, malah ketika banjir di Pantai Timur pun beliau dilihat bermain golf bersama Obama di Hawaii, tindakan DOJ menyebabkan hubungan itu bertukar dingin.

Siasatan DoJ 1MDB

Sementara Najib, kali terakhir mengunjungi Amerika pada 2015, saman sivil dan kemudian siasatan jenayah DOJ berkaitan dana 1MDB telah dianggap oleh segala jentera propaganda UMNO dan kerajaan sebagai suatu bentuk campurtangan asing terhadap Malaysia.

Dengan pantas Amerika kini dikatakan berniat jahat, ingin menjatuhkan kerajaan dan melakukan campurtangan seperti yang pernah dilakukannya kepada banyak negara Timur Tengah sebelum ini.

Berikutan hubungan dingin dengan Amerika itu, Najib dengan segera mengubah haluan kiblat politiknya kepada China. Sama seperti Amerika yang kerap dilawatinya pada awal-awal tahun pemerintahannya, setelah beralih kepada China, beliau juga menunjukkan keakrabannya dengan selalu melawat negara tersebut sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Lebih dari itu, sebagai isyarat halusnya kepada Amerika yang mahu menyita harta-harta Riza Aziz yang turut dikaitkan dengan pelencongan dana 1MDB yang sedang disiasat DOJ, Najib tanpa segan-segan telah membawa sama anak tirinya itu dalam salah satu lawatannya ke China.

Sejak berbaik dan bermesra-mesraan dengan China, sesuai dengan kedudukannya sebagai kuasa baru ekonomi dunia, di samping Najib sendiri diketahui oleh negara tersebut sedang terjepit untuk menyelesaikan hutang-hutang 1MDB, banyak projek akhirnya diserahkan kepada negara tersebut.

Pembinaan landasan keretapi Pantai Timur atau ECRL, pembelian kapal peronda, janakuasa Edra, membesarkan dan membina pelabuhan baru, pembangunan Bandar Malaysia, tanah-tanah, lesen bank serta sederetan projek lain yang bernilai ratusan bilion dalam sekelip mata menjadi milik kontraktor dan syarikat-syarikat besar China.

Najib kemudiannya dengan bangga mengatakan pelaburan daripada China itu adalah untuk kemakmuran masa depan negara, meskipun hakikatnya, ECRL sebagai contoh, ia bukanlah pelaburan, tetapi suatu bentuk hutang yang diberikan dan terpaksa dibayar balik dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Hubungan dengan China, walaubagaimanapun masih menjadikan Najib tersepit dengan tindakan DOJ di Amerika. Berbaik dengan China mungkin memberi keselesaan kepadanya untuk mengurangkan hutang-hutang 1MDB, tetapi tidak melepaskannya daripada ketakutan berhubung saman sivil dan siasatan jenayah berkaitan 1MDB.

Jho Low & pelobi AS

Barangkali yang turut membimbangkan Najib ialah sekiranya Jho Low tiba-tiba bekerjasama dengan DOJ, baik dalam siasatan jenayah atau pun saman sivil dan mengatakan beliau melakukan segala-galanya dalam 1MDB semata-mata kerana mengikut arahan saja.

Sebab itu, jemputan Rumah Putih untuk bertemu dengan Trump pada 12 September ini, mungkin antaranya adalah hasil kerja pelobi daripada syarikat bekas pembantu Trumph yang didedahkan bahawa Malaysia telah membayarnya lebih RM1 juta atau AS$250 ribu pada Mei lalu, merupakan peluang keemasan yang tidak mungkin dilepaskan oleh Najib.

Walaupun mungkin isu perdagangan, mengukuhkan kerjasama, keselamatan serantau khususnya ancaman senjata nuklear Korea Utara dan tidak terkecuali Rohingya akan dibangkitkan, adalah mustahil juga jika Najib tidak turut menyentuh isu berkaitan DOJ dalam pertemuannya dengan Trump itu.

Mahu tidak mahu, harus diakui, isu DOJ adalah antara penentu hidup mati masa depan Najib, terutama sebelum PRU 14 akan datang. Jika sesuatu dapat dilakukan, misalnya tindakan DOJ itu dilengah-lengahkan atau dilambatkan, sambil Najib dapat menunjukkan kemesraannya bersalam dan berselfie dengan Trump, gambar-gambarnya yang tersebar luas itu akan dijadikan isyarat bahawa Perdana Menteri bukanlah buruan sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Ia tentunya amat berguna untuk Najib dan segala mesin propagandanya untuk mendepani PRU 14 yang paling mencabar baginya.

Tetapi, dalam masa yang sama, Trumph melalui kesediaannya bertemu Najib, beliau tetap ada agenda Amerikanya iaitu untuk terus menjadi negara paling berkuasa.

Ambil hati beli senjata

Dengan topik perdagangan, keselamatan dan ancaman Korea Utara, di samping Najib sendiri diketahuinya tersepit untuk keluar daripada ketakutan tindakan DOJ, Trumph tidak mustahil menggunakan peluang yang terhidang di depan mata untuk menekan Malaysia membeli borong senjata-senjata keluaran Amerika.

Ia tentu mengingatkan kita bagaimana Arab Saudi baru-baru ini menandatangani perjanjian pembelian senjata AS$100 bilion dengan Amerika ketika kunjungan Trumph ke Riyadh.

Pembelian senjata, selain untuk keselamatan dan penguasaan sebagai matlamat utamanya, tidak terkecuali akan berselindung dengan bertujuan mengurangkan defisit perdagangan antara Amerika – Malaysia di mana antara jalan mudahnya ialah memaksa kita membeli lebih banyak produk keluaran negara tersebut.

Soalnya, kenapa senjata dan adakah antara yang termasuk dalam pakej pembelian itu ialah senjata-senjata yang tidak perlu serta berharga mahal?

Jika sebelum ini ada yang bimbang dengan campurtangan asing di sebalik tindakan DOJ berkaitan 1MDB, apakah tidak kurang bahayanya kepada masa depan negara bermula dengan pembelian senjata yang banyak daripada Amerika itu?

Apa lagi yang mahu dikuasai seterusnya oleh Amerika setelah mereka berjaya menjual senjata-senjatanya dengan banyak kepada kita?

Tidakkah akhirnya Amerika dan China akan saling menguasai negara kita dan dapatkah Malaysia di masa-masa akan datang menjadi negara aman, bebas dan berkecuali seperti sebelum ini?

*Shahbudin Husin adalah penulis buku politik terkenal. Artikel adalah pendapat peribadi beliau yang tidak semestinya mewakili pendirian MalaysiaStyloNews.

KLIK BACA: Rafizi dakwa Najib menginap di hotel milik keluarga Trump

KLIK BACA: Saya orang pertama suruh Dr Mahathir bersara, dakwa Annuar Musa

KLIK BACA: Dr Mahathir gesa pemimpin dan ahli PAS bertaubat jangan sokong jenayah

KLIK BACA: Nor Yakcop bantu negara, Dr Mahathir berdepan serangan Soros krisis kewangan 1997 – Zam

KLIK BACA: Tuan Ibrahim Dalang Hadi Awang, kata ZAM 

KLIK BACA: Nor Mohamed Yakcop tak patut jadi kambing hitam, kata Puad Zarkashi

KLIK BACA: Najib menang PRU14 terus jadi PM, apa kata Tun Mahathir

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE