Advertisements

Seorang warga Singapura yang menjadi mangsa langgar lari di Johor Bahru, meninggal dunia selepas Hospital Sultanah Aminah menangguhkan rawatan sehingga mendapat bayaran wang tunai.

Justinian Tan, 25, bersama 5 rakannya ketika kemalangan itu berlaku Jumaat lalu.

Media melaporkan mereka baru selesai makan lewat malam dan sedang berjalan ke kereta mereka kira-kira jam 3 pagi, apabila sebuah Proton Saga merempuh kumpulan pemuda itu, sebelum melarikan diri.

Tan dan Brandon Yeo, 24, dilanggar kereta itu. Akhbar Singapura, The Independent melaporkan Tan yang tidak sedarkan diri, kemudiannya didapati menggigil, batuk berdarah dan sukar bernafas.

Rakan Tan yang dipetik akhbar itu berkata, pihak berkuasa lambat bertindak, dengan ambulans hanya tiba 30 minit kemudian, walaupun jarak tempat kejadian dengan hospital hanya 5km atau 9 minit perjalanan, berdasarkan kiraan Google Maps.

Polis yang tiba di tempat kejadian juga tidak mengepung kawasan itu, sebaliknya meminta rakan mangsa membersihkan darah di atas jalan.

Advertisements

Tan kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah, tetapi dimaklumkan imbasan dan pemeriksaan perubatan hanya boleh dilakukan selepas mendapat bayaran wang tunai.

Seorang daripada 6 rakan itu yang bernama Joshua dilaporkan berkata, mereka diminta membayar RM1,350 untuk setiap mangsa sebelum tindakan lanjut boleh diambil.

Disebabkan tidak membawa banyak wang tunai, mereka terpaksa mencari mesin ATM untuk mengeluarkan wang.

Joshua berkata, kakitangan hospital akhirnya melakukan imbasan ke atas Tan dan Yeo selepas mendapat bayaran RM2,700. Bagaimanapun, mereka terpaksa menunggu 4 jam sebelum mendapat prognosis mengenai keadaan 2 mangsa itu.

Pada jam 8.30 pagi, iaitu 5 jam selepas kemalangan itu berlaku, pihak hospital sekali lagi meminta bayaran RM1,350 kerana Tan perlu dibedah akibat “pendarahan dalam otaknya”.

Kakitangan hospital memaklumkan mereka, pembedahan akan dilakukan seorang pegawai perubatan, bukannya pakar bedah atau perunding dan beliau hanya mempunyai 50% peluang untuk hidup.

Rakan mangsa kemudiannya menghubungi Kedutaan Singapura yang menghantar sebuah ambulans persendirian untuk membawa mangsa pulang ke republik itu.

Akhbar itu melaporkan ambulans tiba pada jam 10.45 pagi dan Tan dimasukkan ke Hospital Besar Singapura menjelang tengah hari.

Bagaimanapun, doktor memaklumkan ahli keluarga yang mereka tidak mampu menyelamatkan Tan kerana terlalu banyak masa dibazirkan.

Anak ke-3 daripada 4 beradik itu diisytiharkan mati otak pada jam 5.56 petang Isnin. Kelmarin, ibu bapanya membenarkan doktor mencabut sistem sokongan hayatnya.

Kakak mangsa, Jaslene memberitahu The Independent, ibu mereka terlalu bimbang dengan lawatan adiknya ke Johor kerana ketika itu sudah lewat.

“Adik saya yang merupakan seorang yang ceria dan positif berkata: ‘Apa yang ibu takut? Tiada apa yang perlu dibimbangkan’,” katanya. – Sumber FMT

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share