Malaysia tidak memutuskan hubungan dengan Korea Utara setelah republik itu memenuhi tuntutan-tuntutan yang ditetapkan dalam proses rundingan sehingga membawa kepada pelepasan sembilan rakyat Malaysia yang menjadi tahanan di Pyongyang sejak lebih sebulan lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata walaupun berdepan kesukaran namun penyelesaian yang dicapai berjaya memenuhi dua objektif rundingan yang ditetapkan kerajaan.

Kedua-dua objektif itu ialah memastikan keselamatan kesemua sembilan rakyat yang ditahan dan menjamin soal kedaulatan negara tidak diketepikan oleh sesiapapun.

“Oleh itu, kita harap Korea Utara jangan lagi buat angkara seperti ini lagi kerana ia boleh memudaratkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara,” katanya ketika bercakap kepada wartawan Malaysia di hujung lawatan dua harinya di Chennai, yang berakhir hari ini.

Ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia-Korea Utara dalam dua bulan terakhir ini sedikit reda apabila sembilan rakyat Malaysia yang sebelum ini dihalang daripada meninggalkan Korea Utara susulan perbalahan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Pyongyang selamat tiba di tanah air, awal pagi ini.

Ketegangan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tercetus susulan pembunuhan Kim Jong-nam, 46, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) di sini pada 13 Feb.

Ketika ditanya sama ada hubungan diplomatik antara kedua-dua negara mampu pulih, Najib berkata kedua-dua pihak perlu berpegang kepada prinsip diplomasi serta menghormati Konvesnyen Vienna sekiranya mahu menjamin hubungan diplomasi itu dapat diteruskan.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung dua lelaki yang dipercayai suspek pembunuhan Jong-nam yang dikatakan bersembunyi di kedutaan negara itu, Najib berkata kedua-dua mereka dipercayai telah pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua lelaki itu iaitu Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara di Malaysia, Hyon Kwang-song, 44 dan seorang pekerja syarikat penerbangan Korea Utara, Kim Uk-il, 37 telah disoal siasat polis sebelum ini.

Najib berkata perkara itu merupakan sebahagian daripada persetujuan yang dicapai dengan Korea Utara, iaitu polis perlu dibenarkan melakukan temu bual dan menyoal siasat mereka dan pihak Korea Utara telah membenarkan perkara itu dibuat. – Bernama | Foto Indian Express

KLIK BACA: Zahid simpati kepada penyokong Pas dengan mainan pemimpin

KLIK BACA: Sabotaj ekonomi umpama Yahudi, kata Asyraf Wajdi

KLIK BACA: Ahli PAS disaran gantikan Hadi, damaikan HARAPAN menjelang Muktamar

MESTI BACA: Sanusi: Tun Mahathir cuba tegur tapi seperti mencurah air di daun keladi

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

KLIK BACA: Anwar meninggal dunia dalam penjara kerana isu peribadi?… – Subky Latif

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share