GEORGETOWN – Sepasang kekasih ditahan selepas rumah sewa mereka diserbu dipercayai dijadikan tempat memproses dadah ala-ala ‘homemade’, semalam.

Kedua-dua suspek ditahan di sebuah rumah teres berkembar di Taman Minamah, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Chuah Ghee Lye berkata, suspek lelaki berusia 34 tahun dan teman wanitanya, 42 ditahan di rumah sewa mereka bersama beberapa peralatan memproses dadah termasuk bom buatan sendiri.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menemui empat paket plastik lut sinar berisi serbuk disyaki ketamin seberat 18.35 gram dan satu paket plastik lut sinar berisi serbuk perang disyaki dadah jenis heroin seberat 12.65 gram.

“Selain itu, kita turut merampas tiga keratan penyedut minuman mengandungi serbuk kristal jernih disyaki syabu seberat 3.26 gram serta kafein seberat 1,000 gram.

“Selain itu, kita merampas satu bekas plastik mengandungi 24 biji pil disyaki ekstasi. Turut dirampas, set acuan dipercayai membuat pil, alat penimbang, penukul dan ragum,” katanya kepada media hari ini.

Ghee Lye berkata, dalam serbuan itu juga, polis merampas bahan letupan dan peralatan berkaitan dipercayai digunakan suspek untuk melindungi kegiatan dadah yang dijalankannya.

“Kita merampas sebatang paip PVC sepanjang 2.66 meter yang mengandung paip berkembar bom bersumbu dan tiga paip bom berwayar. Selain itu, lapan butir peluru shotgun 12 Bore, dua unit alat kawalan jauh, transmeter dan beberapa peralatan lain.

“Kita turut merampas sebilah kerambit. Kesemua bahan letupan dan senjata itu dijumpai di sekitar rumah sewa suspek. Polis masih menyiasat sama ada bahan letupan dan senjata itu ada tujuan lain berikutan dadah yang diproses suspek berkualiti rendah,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek menunjukkan negatif.

“Suspek lelaki yang tidak bekerja itu dipercayai memproses dadah berkenaan dan dibantu teman wanitanya. Namun kita masih menyiasat sama ada masih ada individu lain yang terlibat. Dadah yang diproses dipercayai untuk pasaran sekitar kawasan itu kerana ia berkualiti rendah.

“Nilai keseluruhan dadah dirampas bernilai RM3,200. Suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan dadah dan mencuri manakala teman wanitanya tidak mempunyai rekod lampau,” katanya.

Ghee Lye berkata, suspek direman bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 9(3) Akta Racun 1952.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957, Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Sementara itu, Ghee Lye mengesahkan tangkapan empat anggota polis berpangkat lans koperal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 11 Januari lalu.

Menurutnya, keempat-empat anggota polis itu bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan.

“Mereka berusia lingkungan 25 hingga 33 tahun dan kini sudah dibebaskan. Mereka masih berkhidmat sehingga laporan SPRM dikeluarkan. Buat masa ini kita tidak mahu masuk campur siasatan SPRM.

“Namun, kita juga akan jalankan siasatan dalaman selepas memperolehi laporan penuh dari SPRM,” katanya. – Sinar Harian

TERBARU: Rezeki tak datang bergolek, kata Najib

TERKINI: Jho Low dan Eric Tan orang yang sama, apa maknanya?

TERBARUSingapura Cungkil Ulat Daripada Kaki Reput 1MDB – Kadir Jasin

TERBARU: “Tak boleh salahkan mufti, lebai dan haji kalau tak faham 1MDB” – Datuk Kadir Jasin

KLIK BACA: Jho Low didakwa di Singapura apa jadi, soal Shahbudin Husin

TERKINI: Mahathir dan Anwar kalahkan Najib ‘ajaib’, kata penganalisis

KLIK BACA: Cerita Wartawan Lawak Pecah Perut Yang Kelakar Gila

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share