Dua ahli jawatankuasa (AJK) Umno Gombak hari ini mendakwa menerima ugutan bunuh daripada salah seorang pemimpin bahagian mereka pada Ogos lalu.

Menceritakan insiden perselisihan faham dalaman itu Mohd Farouk Mohamad Ramli berkata dia sedang bertugas pada persidangan tahunan Puteri Umno Gombak apabila mendapat ugutan berkenaan.

Kata Mohd Farouk dia didatangi pemimpin terbabit yang kemudian mengungkapkan kata-kata: “Eh, marilah, yang mati dah mati dah, ini ada lagi yang nak mati..tiga tahun aku dah tahan”.

“Sambil menjerit dia berkata (demikian) dan terus nak menyerang saya,” katanya kepada pemberita di Setiawangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Seorang lagi AJK Umno Gombak, Azmi Iswan berkata sebelum itu dia dipanggil oleh pemimpin terbabit yang bertanyakan ketidakpuasaan hati terhadapnya.

Bagaimanapun, kata Azmi suasana yang agak tegang itu menyebabkan dia hilang fokus dan tidak dapat mengingati apa sepenuhnya yang dilafazkan pemimpin terbabit.

“Dia cakap: Mi apa yang kau tak puas hati. Dia kemudian bawa saya ke tempat lain,” katanya.

Menurut Azmi ada kemungkinan pemimpin terbabit tidak berpuas hati dengannya ekoran sekeping gambar dimuat naik dalam WhatsApp sebelum itu.

Katanya, ia ada kaitan dengan satu mesyuarat Umno sebuah bahagian di Selangor apabila dua pemimpin dari Gombak hadir walaupun mandat diberikan hanya kepada seorang daripada mereka.

Terdahulu, kedua-dua mereka difahamkan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Selayang pada 15 Ogos lalu.

Bagaimanapun, mereka mendakwa sehingga kini tiada sebarang tindakan lanjut dari pihak berkuasa.

Justeru, atas alasan bimbang ada perkara tidak diingini berlaku mereka tampil membuat pendedahan kepada media hari ini.

Menurut Azmi dia sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membawa perkara tersebut ke jawatankuasa disiplin parti.
“Kami akan berbincang terlebih dulu dan melihat perkembangannya selepas ia didedahkan kepada media,” katanya.

Hadir sama di sidang media itu ialah saksi seorang lagi AJK Umno Gombak, Osman Said, yang didakwa menyaksikan insiden berkenaan.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi daripada pimpinan yang dituduh membuat ugutan berkenaan. – Malaysiakini

DIKEMASKINI: Anugerah ditunda tahun depan, Rosmah tolak – Pejabat PM


KLIK BACA: Zaid pesan Nazri ingat jasa Dr Mahathir kepadanya…

TERKINI: Kenyataan bersama Anwar, Tun Mahathir tentang Akta MKN

Klik baca: Kerajaan ingkar perintah Raja – Datuk A Kadir Jasin

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share