Polis menyelamatkan sembilan mangsa pemerdagangan manusia – Foto FMT

ALOR SETAR: Polis menyelamatkan sembilan mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Kampung Charok Keladi, Pendang, di sini, tengah malam tadi.

Dalam serbuan jam 1.30 tengah malam itu, semua mangsa warga asing berusia 22 tahun hingga 45 tahun ditemui dalam keadaan kelaparan serta dirantai kaki dan tangan di dalam rumah berkenaan.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata berikutan itu, pihaknya menahan enam suspek termasuk seorang warga Myanmar dan Bangladesh berusia antara 15 tahun hingga 38 tahun yang dipercayai menculik warga asing bagi memperoleh wang tebusan RM15,000 seorang.

Katanya, turut ditahan ialah seorang pelajar tingkatan tiga yang mengikuti bapanya yang mendalangi sindiket berkenaan. Turut dirampas 18 telefon bimbit, dua parang, pelbagai jenis besi dan kayu, sebuah van dan rantai besi bersama mangga.

“Semua mangsa dipercayai diculik sejak beberapa hari lalu.

Daripada sembilan orang yang diculik, dua dari Kuala Lumpur, Kedah (enam) dan seorang dari Perak sebelum dibawa ke rumah seorang suspek yang dijadikan pusat pengurungan.

“Suspek akan meminta wang tebusan dari keluarga mangsa di negara asal masing-masing yang dihantar melalui perkhidmatan pengiriman wang antarabangsa,” katanya pada sidang media khas di pejabatnya di sini, sebentar tadi.

Asri berkata, semua suspek kini ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 yang boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

“Selain itu, ia disiasat mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang boleh dipenjara 20 tahun dan denda serta Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana mengurung yang boleh dihukum penjara maksimum setahun dan denda,” katanya.

KLIK BACA: Dr Mahathir – Malaysia seperti tiada undang-undang!

KLIK BACA TULISAN PENUH: Tun Dr Mahathir – The Rule of Law

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE