JASIN – Penemuan lebih 20 kubur lama di Kampung Chohong dekat sini, perlu dijalankan kajian terperinci oleh pihak berkaitan termasuk Jabatan Warisan Melaka.

Timbalan Exco Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad berkata, pihaknya yakin kubur lama di atas tanah terbiar dalam Dun Rim mampu memberi nilai sejarah tersendiri dan dipercayai wujud sebelum 1,400 tahun.

Menurutnya, ia berdasarkan keadaan batu nisan yang digunakan bukan dari sembarangan batu, selain bentuk yang berbeza dan lama sekali gus menunjukkan ia telah berusia beratus tahun.

Katanya, ia juga seolah-olah asli apabila tidak terhakis dan rosak selain bentuknya yang agak besar dan sukar untuk ditemui pada masa kini.

“Ia memberi gambaran tanah perkuburan terbabit sudah begitu lama usianya.

“Saya juga telah berbincang dengan Jabatan Warisan Melaka dan Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) selain Malaysian Institute of Art Melaka untuk bersama mengenal pasti dan mengetahui sejarah berkaitan kewujudan kubur lama itu,” katanya.

Ghazale berkata demikian kepada Sinar Harian selepas melawat kubur lama di Tanah Perkuburan Islam Lama di Kampung Chohong, semalam.

Menurut Ghazale yang juga Adun Rim, kawasan kubur lama terbabit pada awalnya ditemui penduduk ketika aktiviti gotong-royong yang dilakukan beberapa bulan lalu sebelum kawasan berkenaan dipenuhi semak-samun semula.

Ghazale berkata, pihaknya juga yakin dan percaya jumlah kubur lama yang akan ditemui bertambah selepas kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Menurutnya, sekiranya benar kubur-kubur lama itu mempunyai sejarah tersendiri, pihaknya akan mengambil langkah awal dengan menggazet dan memagarkan tanah wakaf tersebut bagi mengelakkan berlaku sebarang aktiviti khurafat.

“Bagaimanapun di peringkat awal kita akan melakukan kerja-kerja pembersihan bagi memudahkan sebarang kajian yang terperinci dapat dijalankan.

“Saya juga berterima kasih kepada ahli Persatuan Warisan negeri ini yang turut sama mahu perkara ini diberikan perhatian agar nilai sejarah ini dapat diangkat dan bukan dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

KLIK BACA: MUSA HITAM – UMNO TIDAK LAGI IKUT PERATURAN TERIMA DERMA POLITIK

KLIK BACA: Saya pernah ketawakan Filipina, sekarang Malaysia begitu – Bekas TPM

KLIK BACA: “Aku akan pergi tidak lama lagi, dapatkah aku pejam mata hembus nafas terakhir” – Tun Mahathir

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE