Melania Trump, isteri calon presiden AS Donald Trump, semasa Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan — Foto AFP

CLEVELAND — Isteri calon presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terperangkap dalam kontroversi menciplak selepas sebahagian ucapan beliau semasa Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan hari ini didapati hampir serupa dengan ucapan lama Michelle Obama.

Melania Trump, 46, yang juga bekas model, disambut dengan sorakan oleh wakil parti Republikan namun dicemuh oleh orang ramai apabila persamaan dengan ucapan isteri presiden Barack Obama pada 2008 itu ditemui.

Kedua-duanya memperkenalkan diri mereka kepada awam dengan menyentuh tentang nilai yang membentuk kehidupan mereka, lapor AFP.

“Ibu bapa saya menekankan tentang nilai: perlunya kerja keras untuk mencapai impian anda. Kata-kata itu satu janji, kotakan kata dan tunaikan janji. Hormat orang lain.

“Mereka mengajar saya supaya tonjolkan nilai dan moral dalam kehidupan seharian. Itu pengajaran yang saya amalkan dan sampaikan kepada anak kami.

“Dan kita perlu sampaikan pengajaran ini kepada generasi seterusnya. Kerana kita mahu anak-anak kita di negara ini tahu bahawa had cita-cita cuma bergantung kepada kekuatan untuk memenuhi impian dan kerelaan untuk berusaha mencapainya.

Manakala Michelle Obama dalam ucapannya pada Konvensyen Parti Demokrat lapan tahun lepas pula:

“Barack dan saya dibesarkan dengan beberapa nilai yang sama: anda bekerja keras untuk capai impian anda; bahawa kata-kata itu satu janji dan perlu dikotakan; berbaik kepada orang lain dengan hormat dan bermaruah, walaupun anda tidak mengenali atau tidak bersetuju dengan mereka.

“Kami membina kehidupan dengan nilai-nilai ini dan menyampaikanya kepada generasi seterusnya.

“Kerana kita mahu anak-anak kita — dan semua di negara ini — tahu bahawa had kepada kejayaan cuma bergantung kepada sejauh mana impian dan usaha anda untuk mencapainya.”

Penasihat kanan komunikasi Trump, Jason Miller dalam kenyataan mengelak soalan plagiarisme itu namun tidak menafikannya.

“Semasa menulis ucapan beliau, pasukan penulis Melania mencatat inspirasi hidupnya, termasuk beberapa cebisan yang mencerminkan pemikirannya,” katanya.

“Pengalaman Melania dalam isu pendatang asing dan kecintaannya terhadap Amerika terpancar dalam ucapannya, menjadikannya sangat berjaya.”

Adakah ucapan Melania merupakan satu plagiarisme? Berikut merupakan video ucapan mereka untuk anda nilai sendiri:

Sumber: Projek MMO

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE