Honda Malaysia terpaksa menunggu hampir 14 hari mendapatkan stok baru inflator beg udara Takata dari Jepun.

Jurucakap sebuah pusat servis dan jualan Honda terbesar di Lembah Klang berkata, ini disebabkan produk itu tidak dibenarkan dibawa dengan kapal terbang dan hanya boleh dibawa masuk menerusi jalan laut atas pertimbangan keselamatan.

“Barang itu tidak boleh dibawa menggunakan kapal terbang kerana dikatakan mempunyai tekanan yang tinggi, ia terpaksa dibawa mengunakan kapal laut bagi tujuan keselamatan dan tempoh masa diambil lebih kurang 14 hari,” katanya.

Wakil tersebut berkata demikian kepada Free Malaysia Today sebagai menjawab kritikan pengguna yang tidak bepuas hati apabila terpaksa menunggu masa lama untuk menukar beg udara.

Dua pengguna Honda memberitahu FMT, mereka dimaklumkan tiada alat ganti bagi kereta yang mengalami masalah beg udara dan terpaksa menunggu sebelum mendapat tarikh temu janji penyelenggaraan.

Tempoh menunggu lama itu menyebabkan ada yang memilih tidak melakukan perkara tersebut.

Pada 26 Jun, ibu tunggal, Norazlin Haron, 44, terkorban selepas terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah kereta Mercedez Benz dalam perjalanan dari rumahnya di Sri Gombak ke Kota Damansara.

Siasatan polis mendapati letupan inflator beg udara sebagai punca kematian mangsa.

Tiga penumpang, iaitu dua anaknya berusia 9 dan 12 tahun dan anak saudara berusia 22 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Menurut jurucakap pusat Honda yang enggan namanya diterbitkan, ia dibanjiri jumlah permintaan penyelengaraan dalam satu masa dan menghadapi kekurangan tenaga kerja susulan isu kemalangan beg udara yang terbaru ini.

“Isu ini (beg udara Honda) menjadi hangat bermula Ahad (apabila berlakukan kematian disebabkan beg udara tidak berfungsi).

“Bila jadi kes macam ini ramai yang kelam kabut buat temu janji, malah staf tenaga kita juga terhad dan masa yang tidak cukup itu antara punca berlakunya kelewatan bagi perkhidmatan beg udara,” katanya.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share