Portal mStar menafikan dakwaan bahawa seorang penolong editor syarikat itu diturunkan pangkat berhubung artikel mendakwa isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggunakan jet peribadi kerajaan untuk menerima anugerah di Istanbul, Turki.

Ia mengulas kenyataan kumpulan hak media, Geramm yang mendakwa penolong editor berkenaan diarahkan melapor diri di ibu pejabat di Petaling Jaya dari Kuala Kangsar ketika membuat liputan pilihan raya serta diturunkan pangkat sebagai wartawan.

“Pengamal media harus diberi ‘hak bekerja’ tanpa berpihak sekalipun wujud sikap bias dalam sesebuah organisasi media,” kata Geramm dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, pihak mStar menafikan perkara itu dengan jurucakapnya berkata undang-undang buruh jelas mengenai perkara berkenaan dan kakitangan tidak boleh diturunkan pangkat atau dipecat sewenang-wenangnya.

Menurut jurucakap itu, penolong editor itu bukannya diturunkan pangkat tetapi diarahkan ke ibu pejabat untuk mengisi kekurangan tenaga kerja kerana beberapa wartawan mengambil cuti kecemasan.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa portal berkenaan menurunkan artikel berhubung Rosmah itu kerana editornya menganggap wujud unsur-unsur fitnah.

Dakwaan Rafizi disahkan oleh pembantu Rosmah – Datuk Rizal Mansor yang berkata bahawa isteri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggunakkan pesawat peribadi yang disewa khas itu kerana beliau mempunyai jadual yang ketat.

Beliau juga berkata, jet itu bukannya disewa khusus untuk Rosmah, tetapi untuk kegunaan VIP lain kerana jet kerajaan itu sedang diselenggarakan.

Rizal berkata Rosmah mempunyai hak untuk menggunakan jet itu kerana beliau adalah isteri perdana menteri.

KLIK BACA: ‘Najib pun tak guna jet peribadi masa banjir Kelantan’

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share