TELEFON pintar Ara bagi versi pengguna dijangka dipasarkan bermula tahun depan. – Gambar Ytimg.com

SAN FRANCISCO: Google memperkenalkan telefon pintar modular Android pertamanya, Ara, dengan sasaran untuk dipasarkan bermula tahun depan.

Pengumuman sempena persidangan tahunan pembangun aplikasi anjurannya di bandar Silicon Valley pada Jumaat itu turut membuktikan kemajuan yang dicapai Project Ara sekali gus menafikan spekulasi projek itu ditangguhkan tahun lalu.

Bahkan ketika persidangan itu, Google menawarkan peluang akses versi awal Ara kepada pembangun perisian yang berminat untuk membangunkan perisian peranti pintar itu.

GOOGLE memperkenalkan telefon pintar modular Android pertamanya, Ara. Mereka akan menerima model kerangka modular untuk dipasang dengan modul seperti kamera, pembesar suara, dan penderia yang boleh disesuaikan sendiri oleh pengguna menepati keperluan tersendiri seperti permainan video.

Google berkata telefon pintar Ara bagi versi pengguna seharusnya dapat dipasarkan bermula tahun depan.

Pada pengenalan prototaip Ara awal tahun lalu di World Mobile Congress, Barcelona, Google berharap pendekatan itu akan dapat memudahkan penerokaannya dalam pasaran telefon pintar negara sedang membangun.

MODEL kerangka modular untuk dipasang dengan modul seperti kamera, pembesar suara, dan penderia yang boleh disesuaikan sendiri oleh pengguna.

Secara asasnya, telefon modular adalah telefon pintar yang terdiri daripada struktur kerangka asas, direka bentuk secara unik untuk menempatkan modul utama seperti modul skrin, bateri, kamera, penderia, 3G, Wifi atau sebarang komponen mengikut keperluan pengguna.

Semua komponen dipasang dan dilekapkan dengan bantuan magnet membolehkan pengguna mencipta sendiri telefon yang mereka ingini mengikut bajet masing-masing dan bebas menaik taraf mana-mana modul teknologi pintar pada telefon terbabit mengikut kemahuan mereka.

Justeru, sekiranya telefon itu pecah atau memerlukan langkah menaik taraf satu-satu modul kepada teknologi terkini, maka pengguna dapat menggantikannya sendiri dengan mudah dan hanya khusus bagi komponen terbabit berbanding menukar keseluruhan telefon.

Walaupun harganya belum diumumkan, namun berdasarkan kenyataan, Google tahun lalu merujuk kemungkinan model pemula akan dikilangkan pada kos AS$50. – AFP/BHOnline/MRM

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share