Jamil Nor tinggal dalam keadaan serba kekurangan hanya bertemankan kucing di pondok usang

KULAI – Walaupun sudah kematian isteri berpuluh tahun lalu, namun Jamil Nor, 85, masih setia hidup sebatang kara di pondok usangnya yang terletak di dalam ladang kelapa sawit berhampiran Taman Anjaria, di sini.

Ramai tidak menyangka pondok usang itu terletak di dalam ladang kelapa sawit dan perlu berjalan kaki kira-kira setengah kilometer dari jalan biasa, dihuni oleh warga emas berkenaan sejak lebih 40 tahun lalu.

Jamil yang berasal dari Bukit Gambir, Muar tinggal dalam keadaan serba kekurangan dan tidak terurus di pondok yang dibina sendiri menggunakan kayu dan zink tanpa bekalan elektrik dan air.

“Isteri pakcik sudah lama meninggal…dah berpuluh tahun. Pakcik tinggal seorang di sini, kalau lapar pakcik akan masak nasi dan keluar ke gerai depan beli ikan.

“Kadang-kadang ada orang sekitar sini hantar makanan. Pakcik ambil air dari anak sungai berhampiran, kadang-kadang tadah air hujan dan malam gunakan lampu tanah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Dia sebelum ini bekerja sebagai buruh ladang dan dibenarkan tinggal di situ oleh pemilik ladang.

Jamil berkata, dia pernah dimasukkan ke pusat penjagaan warga emas di Kota Tinggi, namun lebih selesa tinggal di pondok itu.

melayu miskin johor

Sementara itu, lebih 20 ahli NGO Badan Amal Penduduk Kulai dan Majlis Belia Daerah Kulai menziarahi Jamil, memberi sumbangan kepadanya, semalam.

Wakil Badan Amal Penduduk Kulai, Jeffri Senin berkata, mereka turut merancang mengadakan gotong-royong membersihkan pondok itu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kulai, Shaharudin Md Taib berkata, Jamil turut menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun bimbang keadaannya yang semakin uzur dan tinggal sendirian.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share