Tadika yang terpalit kontroversi, selepas gambar murid-murid berpakaian seragam tentera dan memegang senjata tiruan tersebar luas, tampil mempertahankan diri mereka.

Menurut tadika itu yang dipetik New Straits Times, gambar berkenaan adalah murid-murid yang mengambil bahagian dalam lakonan konflik Palestin-Israel.

Guru besar Tadika Hidayah Bestari yang tidak mahu namanya disiarkan berkata, lakonan itu diadakan pada 2014 bersama badan bukan kerajaan, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Guru besar itu menjelaskan, ibu bapa yang menghadiri lakonan itu memberi sumbangan kepada MAPIM bagi membantu mengumpul dana untuk mangsa-mangsa perang di Syria dan Palestin.

Tambahnya, ada di kalangan murid-murid yang menyertai lakonan itu memakai kostum menyerupai tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Jelasnya, gambar yang menjadi viral di sosial media itu menunjukkan murid-murid berpakaian seragam tentera dan memegang senjata tiruan, kerana mereka melakonkan semula situasi di Palestin.

Menurut guru besar itu, guru yang memuat naik gambar-gambar itu tidak lagi bekerja di tadika berkenaan.

Semalam, peguam dan aktivis, Siti Kasim melalui status di Facebooknya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap tadika berkenaan.

Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan sebagai berkata, polis sedang memantau tadika “militan” di Kota Damansara itu sejak tahun lalu.

Jelasnya, polis sedang memantau tadika-tadika di seluruh negara bagi memastikan ia tidak dijadikan pusat latihan tentera kanak-kanak.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share

SHARE