Facebook telah membuka pejabat cawangannya di Malaysia, demikian menurut pengumuman oleh Naib Presiden Facebook Asia Pasifik, Dan Neary.

Tujuan pembukaan cawangan pejabat itu ialah memberi lebih banyak kuasa kepada pemilik akaun Facebook untuk berkongsi dan menjadikan dunia lebih terbuka dan berhubung, kata Neary menerusi akaun Facebook miliknya.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi bahawa Facebook baru sahaja membuka sebuah pejabat di Malaysia.

“Lebih 18 juta rakyat Malaysia menggunakan Facebook setiap bulan dan lebih 81 peratus daripada semua orang yang memiliki akses internet di negara ini,” katanya.

Pembukaan pejabat cawangan itu penting memandangkan Facebook telah digunakan sebagai salah satu platform untuk menaikkan perniagaan mereka, jelasnya.

Sebagai contoh, Neary berkata, syarikat Zawara yang menggunakan media sosial itu sebagai platform untuk melariskan perniagaan hinggakan syarikat itu yang mula beroperasi dengan dua kakitangan sahaja itu kini menjadi salah satu syarikat yang dikenali di Malaysia.

Tambah beliau, pihaknya gembira melihat kejayaan yang dicapai oleh syarikat seperti Zawara dan bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan mereka atau mana-mana syarikat yang ingin berkembang menggunakan Facebook.

“Malaysia antara pemimpin dalam penggunaan digital dan inovasi di seluruh Asia Tenggara.

“Tidak kira dalam hal kemasukan mudah alih atau masa yang dihabiskan pada telefon pintar, rakyat Malaysia mengetuai perubahan ini dan transformasi digital telah memberi impak positif kepada pengguna mahu pun perniagaan di Malaysia.

“Ini merupakan masa yang mengujakan untuk Facebook dan Malaysia. Kami mengalu-alukan lebih banyak hubungan perniagaan pda masa akan datang,” ujarnya.

Di Malaysia, Facebook bukan sahaja digunakan untuk aktiviti sosial dan perniagaan malah turut digunakan oleh ahli-ahli politik untuk menyampaikan maklumat kepada para penyokong.

Ramai ahli-ahli politik dari kalangan pemimpin kerajaan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng turut menggunakan facebook untuk pelbagai tujuan dengan penyokong mereka.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share