SANDAKAN: Lebih 70 tahun lepas, rakyat Malaysia dan Australia berganding bahu dalam mengharungi Perang Dunia Kedua.

Melalui kerjasama itu, terjalinlah hubungan erat antara rakyat kedua-dua negara.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata hubungan itu kemudian bertambah kukuh apabila rakyat Australia sekali lagi menghulurkan bantuan kepada Malaysia, yang baharu ditubuhkan ketika itu, untuk sama-sama berjuang bagi mewujudkan keamanan semasa Darurat dan Konfrontasi antara negara ini dengan Indonesia.

“Kita berkongsi satu sejarah. Kita berkongsi kemerdekaan yang diperjuangkan dengan penuh pahit getir sebelum mencapai kemenangan. Kita meratap bersama, lelaki dan wanita dari negara kita mengorbankan nyawa mereka untuk mencapainya dan kita memperbaharui komimen kita untuk memastikan pengorbanan mereka tidak sia-sia.

“Rakyat Sabah dengan bangga dan berbesar hati melindungi taman peringatan ini, yang menjadi bukti jelas mengenai satu daripada tragedi yang dialami akibat perang dan bagi membantu mereka yang melawatnya memahami apa yang pernah berlaku di sini.

“Sebenarnya, ini bukan semata-mata satu tempat peringatan dan bersejarah, malah sebuah tempat pendidikan dan bagi mengenang sesuatu,” katanya pada majlis sambutan Hari Anzac di Taman Peringatan Sandakan dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Pang Nyuk Ming.

Musa berkata di taman peringatan itu tersimpan kisah mengenai realiti peperangan dan mereka yang memberi perlindungan kepada anggota tentera.

“(Ia adalah kisah) mengatur langkah hari demi hari untuk menjamin kelangsungan hidup, untuk kemerdekaan dan untuk keamanan.”

Pada 1942, ramai tentera Australia ditawan tentera Jepun yang menduduki Asia Tenggara dan mereka dihantar ke kem tawanan perang di Sandakan untuk membina sebuah landasan kapal terbang yang dipercayai Jepun boleh membantu mereka dalam peperangan itu.

Selepas tentera Berikat mengebom landasan kapal terbang yang siap dibina pada 1945 itu, komander Jepun mengambil keputusan memindahkan tawanan yang selamat kira-kira 260 kolometer ke Ranau dengan mengarahkan mereka berjalan meredah hutan tebal dan kawasan bergunung-ganang.

Now You Know Dont Say Thank - Comment & Share